TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JAS tingkat pemantauan kualiti udara, Cheras catat IPU tidak sihat

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA, 14 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kini memantau rapi kualiti udara di sekitar ibu negara susulan trend peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pengarah JAS WPKL, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kemerosotan kualiti udara itu berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah dan diburukkan lagi oleh cuaca panas serta kering yang melanda negara.

"Berdasarkan rekod cerapan stesen pengawasan kualiti udara (EQMS) JAS pada jam 6 petang, stesen Cheras mencatatkan peningkatan kualiti udara ke tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 151," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurut Sharifah Zakiah, keadaan cuaca semasa menyebabkan zarah terampai seperti habuk dan debu mudah terperangkap di ruang udara ibu kota.

Sehubungan itu, JAS WPKL telah menggerakkan pasukan penguat kuasa bagi mempergiatkan rondaan harian untuk mencegah aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berisiko seperti tapak pelupusan sampah haram, kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan kawasan perumahan.

Beliau turut memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka.

Dalam pada itu, orang awam disaran menyemak trend bacaan IPU terkini menerusi portal rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS, selain melaporkan sebarang aduan pencemaran menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727.

+ - reset