TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penganjur RXZ Members cadang tutup LPT tingkat keselamatan peserta

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 14 Ogos – Penganjur perhimpunan RXZ Members merancang untuk membuat permohonan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menutup seketika Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 khusus untuk laluan peserta konvoi pada masa akan datang.

Pengarah Program RXZ Members, Mohd Lukhman Hassan berkata, cadangan itu merupakan antara langkah penambahbaikan yang dikemukakan pihaknya ketika sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis.

Menurutnya, selain permohonan penutupan lebuh raya secara bersasar, pihaknya turut bercadang memperkenalkan jadual cadangan masa perjalanan (TTA) bagi menguruskan pergerakan peserta secara lebih teratur.

"Sesi libat urus bersama penguat kuasa JPJ telah selesai dan akan diteruskan lagi untuk penganjuran akan datang. RXZ Members akan terus dianjurkan sehingga edisi 10.0 dengan beberapa penambahbaikan dari semasa ke semasa.

"Antara cadangannya, kita mungkin akan ada TTA untuk menyusun jadual perjalanan peserta. Kita juga ada kemukakan cadangan kepada LLM untuk menutup LPT sekejap bagi laluan peserta," katanya menerusi hantaran video di akaun Instagram rasmi penganjur.

Perhimpunan RXZ Members 8.0 yang berlangsung di Terengganu selama dua hari mulai 31 Julai lalu menghimpunkan ribuan peminat motosikal Yamaha RX-Z dari seluruh negara menerusi pelbagai aktiviti komuniti.

Walau bagaimanapun, penganjuran edisi kali ini dicemari dengan insiden kemalangan maut membabitkan peserta di sepanjang jalan menuju ke lokasi perhimpunan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin sebelum ini mengesahkan sebanyak lima kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di daerah Kemaman dan Dungun sepanjang tempoh penganjuran program berkenaan, meningkat berbanding dua kes pada edisi tahun lalu.

+ - reset