Berita Berita
Pemandu lori Imigresen digantung tugas kes kemalangan maut tiga beranak di Maju Junction
SHAH ALAM, 20 Ogos – Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan tiga beranak di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur telah digantung tugas berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan tatatertib itu diambil sehingga proses siasatan selesai bagi memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan berhubung insiden berkenaan.
"Tindakan segera jabatan kita menggantung tugas pemandu sehingga kes selesai. Kita memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam kes ini. JIM juga sedang melakukan siasatan dalaman daripada aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Nahas yang berlaku pada jam 1 pagi itu mengorbankan Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, yang dirempuh ketika berada di kawasan pejalan kaki. Manakala isteri mangsa berusia 55 tahun mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kejadian berlaku apabila lori 'Black Maria' milik JIM Kuala Lumpur tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur ke Chow Kit bagi operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah.
Sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus dari arah lampu hijau bertembung dengan lori berkenaan di tengah persimpangan, menyebabkan lori itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh empat pejalan kaki sekeluarga serta sebuah lagi kereta. Susulan itu, pemandu lori serta pemandu Proton Saga terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 5:56 pm
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
August 20, 2026, 3:00 pm
Kerjasama BN hadapi PRN Melaka diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO - Ahmad Maslan
August 20, 2026, 2:52 pm
PH serah jawatankuasa bincang kerjasama dengan BN hadapi PRN Melaka - Anwar
August 20, 2026, 2:45 pm
Tun Mahathir bidas kenyataan Netanyahu nafi penubuhan negara Palestin
August 20, 2026, 2:40 pm
MAIS tunggu hasil siasatan kes amang seksual sekolah agama swasta di Selangor
August 20, 2026, 1:50 pm
