TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Video lipas merayap dalam bekas daging tular, DBKL arah restoran barbeku tutup 14 hari

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan penutupan premis ke atas sebuah restoran barbeku di ibu kota berkuat kuasa 26 Ogos hingga 9 September berikutan penularan video memaparkan serangga dipercayai lipas merayap di dalam bekas makanan.

Tindakan itu diambil oleh Unit Sanitasi Premis, Pejabat Kesihatan Zon 5 Titiwangsa di bawah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 susulan aduan awam di media sosial.

"Penutupan premis adalah bagi membolehkan pihak pengurusan melaksanakan tindakan pembetulan dan pembersihan secara menyeluruh demi memastikan pematuhan kebersihan serta kesihatan awam," menurut kenyataan DBKL menerusi hantaran balas di media sosial.

Isu berkenaan mula perhatian ramai selepas seorang pengguna platform Threads menerusi akaun @aqilahmaria_ memuat naik rakaman menunjukkan serangga berkenaan berada di dalam bekas berisi daging mentah berhampiran hidangan udang, sekali gus menimbulkan kebimbangan tahap kebersihan premis terbabit.

DBKL menegaskan pihaknya sentiasa memantau dan mempastikan semua premis makanan di sekitar ibu kota mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan bagi melindungi keselamatan warga kota.

+ - reset