TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan Dua maut dipanah petir ketika pulang memancing di Pasir Mas

By
|
Kongsi
image

PASIR MAS, 13 Okt. – Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas disambar petir ketika dalam perjalanan pulang daripada memancing di kawasan sawah padi berhampiran Kampung Tasek Berangan, Repek semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kiambang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Pasir Mas.

Insiden berkenaan berlaku ketika mangsa sedang beredar dari kawasan sawah padi bersama dua rakan dan seorang sepupunya berikutan hujan lebat yang mula turun.

Bapa mangsa, Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, meluahkan rasa reda atas pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu selepas mengusung jenazah di lokasi kejadian.

Sepupu mangsa, Mohd Haziq Qoyyum Rosli, 12, menceritakan bahawa petir menyambar mangsa yang sedang memegang joran ketika mereka hampir sampai ke kawasan tempat meletak motosikal.

Dentuman petir berkenaan turut menyebabkan rakan-rakan yang berjalan di belakang mangsa rebah berikutan kesan rempuhan gegaran elektrik di kawasan terbabit.

Saksi kejadian segera berlari pulang ke rumah untuk meminta bantuan selepas melihat mangsa kaku di atas tanah sebelum ahli keluarga mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset