TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan benar Suruhanjaya Tenaga kaji konsep bayar ikut penggunaan tahun depan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 15 Okt. – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang mengkaji pelaksanaan konsep 'pengguna membayar mengikut penggunaan' tahun hadapan bagi memastikan pengagihan kos tenaga yang lebih adil dan bersasar.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa pendekatan terbabit membolehkan kadar tarif bagi sektor domestik dan industri ditetapkan secara berbeza mengikut corak penggunaan harian.

Langkah berkenaan dirancang untuk melindungi kepentingan pengguna domestik di samping memastikan struktur caj elektrik kekal munasabah dan saksama.

Fadillah mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung tindakan kawalan bil elektrik susulan peningkatan kos bekalan tenaga global.

Kerajaan sebelum ini turut memperluaskan perlindungan bil elektrik berkuat kuasa 1 September hingga 31 Disember ini yang mengecualikan kira-kira lapan juta pengguna domestik daripada dikenakan Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), SST, dan Caj Peruncitan.

Pengguna yang mencatatkan penggunaan bawah 1,000 kilowatt-jam (kWj) sebulan juga layak menerima rebat menerusi skim insentif cekap tenaga yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2025.

+ - reset