TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Alami trauma hingga perlu rawatan psikiatri, dua anggota polis bakal saman sivil Mohd Shuhaily

By
|
Kongsi
image

SEPANG, 21 Okt. – Seorang daripada dua anggota polis yang didakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan mengalami trauma teruk sehingga memerlukan rawatan psikiatri.

Peguam mewakili kedua-dua anggota terbabit, Kamal Hisham Jaffar memaklumkan bahawa tindakan saman sivil bagi menuntut pampasan atas kecederaan fizikal dan kesan trauma berkenaan akan difailkan di mahkamah dalam tempoh tujuh hari.

Langkah perundangan itu akan diteruskan sebaik sahaja pihak pembelaan memperoleh laporan perubatan lengkap daripada Pusat Kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya.

Jumlah pampasan yang akan dituntut bagaimanapun belum dimuktamadkan memandangkan penilaian menyeluruh berhubung kesan fizikal, mental, serta implikasi kesihatan psikiatri mangsa masih sedang dijalankan.

Kamal Hisham menegaskan bahawa kesan trauma yang dialami anak guamnya tidak boleh dipandang ringan walaupun terdapat pihak yang cuba menganggap insiden berkenaan sebagai isu kecil.

Melihat kepada kesukaran mangsa mendapatkan bantuan guaman berikutan kekangan kewangan serta jurang perbezaan pangkat yang ketara, khidmat guaman terbabit diberikan secara percuma (pro bono).

Pihak guaman turut menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi di media sosial yang mengaitkan kedua-dua anggota berkenaan dengan dakwaan sindiket atau kegiatan 'counter setting'.

Fokus utama tindakan perundangan berkenaan kekal terarah kepada perbuatan kekerasan fizikal terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas rasmi.

+ - reset