TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Geng Aying tumpas, polis tahan lelaki bersama lapan rangka motosikal curi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 21 Okt. – Kegiatan curi dan leraikan komponen motosikal yang didalangi 'Geng Aying' berjaya ditumpaskan susulan penahanan seorang lelaki tempatan bersama lapan rangka motosikal membabitkan nilai kerugian dianggarkan RM35,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam memaklumkan bahawa suspek berusia 26 tahun yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau itu ditahan oleh cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul di tepi Jalan Sungai Jelok, Kajang pada 16 Oktober lalu.

Penahanan berkenaan dilakukan berikutan laporan polis pada 26 Julai lalu berhubung kehilangan aksesori motosikal jenis Yamaha RXZ di Residensi Kepong, Pintasan Metro Perdana Taman Metropolitan Kepong.

Tindakan susulan membawa kepada rampasan lapan rangka motosikal pelbagai jenis seperti Yamaha 135LC, Yamaha Y15, dan Honda EX5 yang telah dipotong nombor casisnya, selain dua set lengkap panel badan motosikal di tiga lokasi berbeza sekitar Jinjang dan Intan Baiduri.

Modus operandi kumpulan berkenaan adalah mencuri motosikal bersama rakan sejenayah sebelum meleraikan komponen untuk dijual dan membuang rangka kenderaan bagi menghapuskan bukti.

Suspek kini direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda.

+ - reset