TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah tetapkan JMB tiada hak lagi halang pemilik masuk rumah walau yuran penyelenggaraan tertunggak

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 28 Okt – Pemilik kondominium yang mempunyai tunggakan caj penyelenggaraan tetap berhak memasuki kediaman sendiri dan tidak boleh dihalang oleh badan pengurusan bersama (JMB), demikian keputusan Mahkamah Rayuan.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim sebulat suara membenarkan rayuan SL Land Sdn Bhd dan Foong Wei Ching terhadap JMB yang menguruskan Sentral Bazar di Nilai, Negeri Sembilan.

Panel berkenaan dipengerusikan Hakim Alwi Abdul Wahab bersama Hakim Shahnaz Sulaiman dan Ong Chee Kwan.

Mahkamah sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan JMB mengenakan syarat kemasukan terhadap pemilik yang gagal menjelaskan tunggakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Ketika membacakan alasan penghakiman ringkas, Ong menjelaskan bahawa peraturan sedia ada sememangnya membenarkan JMB mengambil tindakan tertentu terhadap pemilik yang mempunyai tunggakan.

Antara tindakan tersebut termasuk menyahaktifkan kad akses, mewajibkan pemilik menandatangani buku daftar ketika mendapatkan bantuan keluar masuk bangunan serta menggantung penggunaan kemudahan dan perkhidmatan bersama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan berkenaan tidak boleh diperluaskan sehingga menghalang pemilik daripada memasuki unit hartanah milik mereka sendiri.

“Bentuk tindakan yang dibenarkan hanyalah mendatangkan kesulitan dan rekod. Ia mengandaikan kemasukan tetap dibenarkan. Ia tidak membenarkan sekatan masuk,” kata Ong.

Menurutnya, tindakan menyekat pemilik daripada memasuki unit sendiri merupakan langkah lebih drastik berbanding kuasa yang diberikan kepada JMB di bawah peraturan berkenaan.

Malah, sekatan sedemikian turut menjejaskan hak seseorang pemilik untuk menggunakan dan menikmati hartanah miliknya.

Ong menjelaskan, sebarang kuasa untuk menghalang pemilik memasuki kediaman memerlukan peruntukan undang-undang yang jelas, namun tiada peruntukan sedemikian dalam peraturan sedia ada.

Sehubungan itu, panel hakim mengisytiharkan tindakan JMB yang enggan membenarkan pengarah dan ejen sah SL Land memasuki unit milik syarikat berkenaan pada 4 Mei dan 20 Jun 2023 sebagai menyalahi undang-undang.

Mahkamah turut memutuskan bahawa syarat yang mewajibkan kehadiran atau kebenaran pemegang saham syarikat sebelum seseorang dibenarkan memasuki unit juga tidak mempunyai asas undang-undang.

Susulan keputusan tersebut, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang JMB daripada terus menyekat akses masuk ke unit berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menafikan kuasa JMB untuk mengambil tindakan yang dibenarkan di bawah peraturan berkaitan, termasuk melaksanakan langkah keselamatan yang munasabah dan tidak mendiskriminasi mana-mana pemilik petak.

Dalam keputusan sama, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah kos RM30,000 yang sebelum ini dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menganugerahkan ganti rugi nominal kepada SL Land selepas mendapati syarikat berkenaan tidak berjaya membuktikan sebarang kerugian ketara akibat tindakan JMB.

JMB juga diperintahkan membayar keseluruhan kos prosiding berjumlah RM50,000 bagi kes yang didengar di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding tersebut, SL Land dan Foong diwakili peguam Ivanpal Singh Grewal, Harwinder Kaur dan S Nisha.

Sementara itu, peguam K Muralidharan dan Ahmad Amir Mukhlis mewakili pihak JMB.

+ - reset