Berita Berita
Gara-gara tak beri tabik hormat, bekas polis dakwa pernah dipukul Mohd Shuhaily 11 tahun lalu, mahu kes disiasat semula
KUALA LUMPUR 28 Okt – Kes dakwaan seorang bekas anggota polis dipukul Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain lebih sedekad lalu kini mendapat perhatian semula apabila mangsa memohon campur tangan Peguam Negara.
Bekas anggota polis berkenaan, Saifuddin Abdul Kader, berharap siasatan terhadap laporan yang dibuatnya pada November 2015 dapat dibuka semula bagi membolehkan beliau mendapatkan keadilan.
Permohonan itu dibuat kira-kira seminggu selepas Mohd Shuhaily dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Peguam yang mewakili Saifuddin, Kamal Hisham Ja'afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, anak guam mereka pernah membuat laporan polis terhadap Mohd Shuhaily pada 19 November 2015.
Ketika kejadian, Mohd Shuhaily berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak, manakala Saifuddin merupakan anggota polis berpangkat rendah.
Bagaimanapun, kedua-dua peguam itu mendakwa tiada tindakan diambil terhadap Mohd Shuhaily susulan laporan berkenaan.
"Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang pengadu yang mendakwa dipukul Shuhaily pada tahun 2015.
"Walaupun laporan polis sudah dibuat, tiada sebarang tindakan diambil terhadap Shuhaily sehingga ke hari ini," kata mereka dalam kenyataan.
Menurut kenyataan sama, Saifuddin turut mendakwa berdepan pelbagai kesukaran dalam kerjayanya selepas membuat laporan polis sehingga akhirnya diberhentikan daripada pasukan keselamatan itu.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 8.30 pagi pada 17 November 2015 ketika Saifuddin sedang bertugas di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Saifuddin mendakwa Mohd Shuhaily menegurnya kerana tidak memberikan tabik hormat sebelum memarahinya berulang kali di hadapan beberapa anggota polis lain.
Dalam pertikaian tersebut, beliau turut mendakwa Mohd Shuhaily menumbuk pergelangan tangan kirinya sekali.
Selain itu, Saifuddin mendakwa turut diugut dengan pertukaran tempat bertugas ke Sabah atau Sarawak serta tindakan tatatertib.
Kedua-dua peguam berkenaan berkata, perkembangan terbaharu membabitkan pendakwaan terhadap Mohd Shuhaily dalam kes berasingan di KLIA memberikan harapan kepada anak guam mereka untuk mendapatkan pembelaan.
"Selepas melihat prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi ditunjukkan Peguam Negara dalam membawa pertuduhan terhadap Shuhaily, Saifuddin percaya dia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah pentadbiran semasa.
"Kami dengan penuh hormat memohon kes ini disemak dan dipertimbangkan semula bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus ditegakkan tanpa diskriminasi," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang terhadap dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis.
Kedua-dua pertuduhan itu membabitkan kejadian yang didakwa berlaku di KLIA pada 28 September lalu.
Mohd Shuhaily didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 6:11 pm
CSA bukan perkara baharu, rakyat mesti jadi penerima manfaat terbesar - Fuziah Salleh
October 29, 2026, 4:29 pm
Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung pengajian pelajar 'straight' A SPM, PNGK 4.00 STPM hingga tamat
October 29, 2026, 12:20 pm
Hargai khidmat bakti, penjawat awam Kelantan termasuk status kontrak dapat bantuan khas RM1,500
October 29, 2026, 12:15 pm
Sungai Kim Kim tercemar lagi, JAS siasat air sungai bertukar jadi putih
October 29, 2026, 12:12 pm
Sumbangan Deepavali bukan 'gula-gula' PRN Melaka - Ab Rauf
October 29, 2026, 12:07 pm
Asas AI mula diajar di sekolah rendah menerusi kurikulum baharu 2027 - Fadhlina
October 29, 2026, 12:05 pm
Penunggang motosikal terlantar akibat kemalangan lapan tahun lalu terima ganti rugi RM1.94 juta
October 29, 2026, 12:01 pm
KDN kembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM susulan kes di mahkamah
October 29, 2026, 11:35 am
