Berita Berita
'Suami yang patut bantu isteri' - Kerajaan sedia teliti cadangan cuti bersalin 98 hari dikongsi antara suami, isteri
KUALA LUMPUR 28 Okt – Cadangan membenarkan pasangan suami isteri berkongsi tempoh cuti bersalin bagi memudahkan urusan penjagaan ibu dan bayi selepas kelahiran akan diteliti kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan itu merupakan langkah baik kerana dapat memberi lebih banyak ruang kepada pasangan untuk meluangkan masa bersama keluarga, khususnya selepas menerima kehadiran cahaya mata.
Menurutnya, kementerian mengambil maklum perkara tersebut dan bersedia mempertimbangkan cadangan berkenaan.
“Terima kasih yang berhormat (Ampang). Kita akan lihat kepada cadangan tersebut.
“Saya harap yang di belakang (pegawai kementerian) itu ambil nota mengenai perkara ini. Ia satu cadangan yang sangat baik.
“Saya amat menyokong kalau orang bercerita mengenai keluarga untuk bersama,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat.
Terdahulu, cadangan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang meminta kerajaan menilai semula kemudahan cuti bersalin sedia ada supaya tempohnya boleh dikongsi antara suami dan isteri mengikut keperluan keluarga.
Rodziah berpandangan, pendekatan lebih fleksibel diperlukan bagi membantu pasangan menguruskan situasi tertentu selepas kelahiran anak, terutama apabila bayi mengalami masalah kesihatan yang memerlukan perhatian tambahan.
Antara keadaan yang dibangkitkan ialah bayi mengalami jaundis atau demam kuning sehingga memerlukan penjagaan lebih rapi daripada kedua-dua ibu bapa.
Menurutnya, terdapat keadaan apabila seorang isteri mungkin perlu menyerahkan sebahagian tempoh cutinya kepada suami supaya tanggungjawab menjaga bayi dapat dilaksanakan secara bersama.
Bagaimanapun, tempoh cuti paterniti yang diberikan kepada pekerja lelaki ketika ini adalah terhad, sekali gus menyukarkan pasangan yang memerlukan masa tambahan untuk menguruskan bayi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme perkongsian cuti bersalin yang membolehkan kedua-dua ibu bapa menentukan pembahagian tempoh cuti berdasarkan keperluan masing-masing.
Untuk rekod, pekerja wanita di Semenanjung Malaysia dan Labuan kini layak menerima cuti bersalin minimum selama 98 hari berbanding 60 hari sebelum pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
Sementara itu, pekerja lelaki yang memenuhi syarat ditetapkan pula layak menikmati cuti paterniti berbayar selama tujuh hari berturut-turut menerusi pindaan akta sama.
Bagaimanapun, cadangan perkongsian cuti bersalin antara suami dan isteri itu masih di peringkat penelitian dan belum diputuskan untuk dilaksanakan.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 6:11 pm
CSA bukan perkara baharu, rakyat mesti jadi penerima manfaat terbesar - Fuziah Salleh
October 29, 2026, 4:29 pm
Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung pengajian pelajar 'straight' A SPM, PNGK 4.00 STPM hingga tamat
October 29, 2026, 12:20 pm
Hargai khidmat bakti, penjawat awam Kelantan termasuk status kontrak dapat bantuan khas RM1,500
October 29, 2026, 12:15 pm
Sungai Kim Kim tercemar lagi, JAS siasat air sungai bertukar jadi putih
October 29, 2026, 12:12 pm
Sumbangan Deepavali bukan 'gula-gula' PRN Melaka - Ab Rauf
October 29, 2026, 12:07 pm
Asas AI mula diajar di sekolah rendah menerusi kurikulum baharu 2027 - Fadhlina
October 29, 2026, 12:05 pm
Penunggang motosikal terlantar akibat kemalangan lapan tahun lalu terima ganti rugi RM1.94 juta
October 29, 2026, 12:01 pm
KDN kembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM susulan kes di mahkamah
October 29, 2026, 11:35 am
