Berita Berita
AKPS tahan suami isteri bawa wang tunai RM1.97 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan
JOHOR BAHRU 28 Okt – Percubaan sepasang suami isteri warga tempatan membawa wang tunai berjumlah RM1.97 juta dan S$300,000 ke Singapura tanpa membuat pengisytiharan berjaya dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, pada Selasa.
Pasangan ahli perniagaan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi ketika melalui zon pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands, Singapura.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pasangan berkenaan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih dengan nombor pendaftaran tempatan sebelum diperiksa tiga pegawai agensi itu.
Menurutnya, pemeriksaan lebih terperinci dilakukan selepas pemandu kenderaan terbabit menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika disoal oleh pegawai bertugas.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan selepas pemandu menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui wang tunai RM1,971,697 dan S$300,000 yang disimpan di dalam tiga kotak, sebuah beg galas hitam dan sebuah beg kertas,” katanya pada sidang akhbar di AKPS Bangunan Sultan Iskandar pada Rabu.
Mohd Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit dalam perjalanan dari Johor ke Woodlands dan dipercayai mahu bercuti di negara jiran itu.
Bagaimanapun, tujuan sebenar mereka membawa wang tunai dalam jumlah besar ke Singapura masih belum dikenal pasti dan sedang disiasat pihak berkuasa.
“Alasan wang berkenaan tidak diisytiharkan masih dalam siasatan pihak berkaitan, termasuk pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Setakat semakan awal, tiada rekod penyelewengan dikesan melibatkan pasangan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, susulan penemuan tersebut, semua wang tunai bersama kenderaan yang digunakan pasangan berkenaan ditahan dan disita sebelum diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pasangan terbabit akan direman pada Rabu bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 55(1)(b), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
Mohd Nasaruddin turut mengingatkan orang ramai bahawa individu yang membawa wang tunai melebihi nilai bersamaan AS$10,000 atau kira-kira RM40,000 ketika merentas sempadan negara diwajibkan membuat pengisytiharan kepada pihak berkuasa.
“Individu yang membawa wang tunai melebihi had ditetapkan melebihi nilai bersamaan $ASD 10,000 (kira-kira RM40,000 wajib membuat pengisytiharan kepada pihak berkuasa. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada tindakan undang-undang,” katanya.
Tambahnya, AKPS akan terus memperketatkan pemeriksaan dan kawalan di semua pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras sebarang kegiatan yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan hasil negara.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 6:11 pm
CSA bukan perkara baharu, rakyat mesti jadi penerima manfaat terbesar - Fuziah Salleh
October 29, 2026, 4:29 pm
Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung pengajian pelajar 'straight' A SPM, PNGK 4.00 STPM hingga tamat
October 29, 2026, 12:20 pm
Hargai khidmat bakti, penjawat awam Kelantan termasuk status kontrak dapat bantuan khas RM1,500
October 29, 2026, 12:15 pm
Sungai Kim Kim tercemar lagi, JAS siasat air sungai bertukar jadi putih
October 29, 2026, 12:12 pm
Sumbangan Deepavali bukan 'gula-gula' PRN Melaka - Ab Rauf
October 29, 2026, 12:07 pm
Asas AI mula diajar di sekolah rendah menerusi kurikulum baharu 2027 - Fadhlina
October 29, 2026, 12:05 pm
Penunggang motosikal terlantar akibat kemalangan lapan tahun lalu terima ganti rugi RM1.94 juta
October 29, 2026, 12:01 pm
KDN kembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM susulan kes di mahkamah
October 29, 2026, 11:35 am
