Berita Berita
Jangan ambil ringan, marah isteri beli barang 'online' juga satu bentuk keganasan rumah tangga – Nancy
KUALA LUMPUR 28 Okt – Tindakan pasangan mengawal perbelanjaan, menyekat akses kepada wang atau gagal menyediakan keperluan asas keluarga boleh dikategorikan sebagai keganasan ekonomi dalam rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal dan emosi, sebaliknya turut merangkumi kawalan kewangan yang boleh menjejaskan kesejahteraan serta keyakinan diri mangsa.
Menurutnya, antara situasi yang sering berlaku termasuk isteri dimarahi kerana membeli barangan secara dalam talian, tidak diberikan wang untuk membeli pakaian atau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada suami bagi memenuhi keperluan diri.
Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila pasangan tidak menyediakan wang untuk keperluan asas keluarga, khususnya kepada isteri yang tidak bekerja dan tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri.
“Contohnya, suami balik rumah hendak makan dan mengharapkan isteri masak. Kalau isteri tak bekerja, dia tidak ada duit dan suami pula tidak memberikan wang kepadanya untuk keperluan dapur, macam mana dia hendak memasak?
“Selain itu, isteri hendak membeli pakaian tetapi tidak mempunyai wang. Hendak membeli-belah seperti wanita lain pun tidak boleh. Apabila dia memesan barangan melalui platform dalam talian, dia dimarahi suami. Ini yang biasa berlaku dan menjadi cabaran baharu dalam kehidupan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Keluarga Sejahtera: Kasih Terpelihara, Penjagaan Diperkasa’ terbitan Bernama TV.
Nancy menjelaskan, kawalan kewangan sedemikian boleh menyebabkan mangsa kehilangan kebebasan untuk membuat keputusan berkaitan keperluan diri, terutama apabila tidak mempunyai pendapatan atau akses kepada wang.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes keganasan rumah tangga meningkat daripada 5,507 kes pada 2023 kepada 7,016 kes pada 2024.
Jumlah berkenaan terus meningkat kepada 7,391 kes pada 2025, manakala sebanyak 5,278 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Keganasan rumah tangga ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan situasi tetapi yang menjadi cabaran ialah apabila mangsa memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan. Kadang-kadang bila sudah buat laporan pun, mereka tarik balik laporan kerana takut,” katanya.
Sehubungan itu, Nancy berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi membantu mangsa keluar daripada situasi penderaan dan membina semula kehidupan mereka.
Antara bantuan disediakan termasuk perkhidmatan kaunseling, intervensi serta bantuan kewangan untuk menghadiri prosiding mahkamah sekiranya diperlukan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani keganasan rumah tangga bukan sahaja penting bagi melindungi mangsa, malah memastikan anak-anak tidak terus terdedah kepada persekitaran keluarga yang tidak sihat.
Menurutnya, kanak-kanak yang menyaksikan penderaan dalam keluarga berisiko menganggap perbuatan tersebut sebagai sesuatu yang normal sehingga mempengaruhi cara mereka membina hubungan apabila dewasa.
“Kami tidak mahu perkara ini menjejaskan anak-anak sehingga apabila mereka dewasa, mereka mengulangi perkara yang sama kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang normal,” katanya.
Pada masa sama, Nancy menggesa masyarakat supaya tidak menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi yang tidak boleh dicampuri pihak lain.
Sebaliknya, orang ramai diminta tampil membantu dengan melaporkan sebarang kejadian atau perkara mencurigakan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 6:11 pm
CSA bukan perkara baharu, rakyat mesti jadi penerima manfaat terbesar - Fuziah Salleh
October 29, 2026, 4:29 pm
Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung pengajian pelajar 'straight' A SPM, PNGK 4.00 STPM hingga tamat
October 29, 2026, 12:20 pm
Hargai khidmat bakti, penjawat awam Kelantan termasuk status kontrak dapat bantuan khas RM1,500
October 29, 2026, 12:15 pm
Sungai Kim Kim tercemar lagi, JAS siasat air sungai bertukar jadi putih
October 29, 2026, 12:12 pm
Sumbangan Deepavali bukan 'gula-gula' PRN Melaka - Ab Rauf
October 29, 2026, 12:07 pm
Asas AI mula diajar di sekolah rendah menerusi kurikulum baharu 2027 - Fadhlina
October 29, 2026, 12:05 pm
Penunggang motosikal terlantar akibat kemalangan lapan tahun lalu terima ganti rugi RM1.94 juta
October 29, 2026, 12:01 pm
KDN kembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM susulan kes di mahkamah
October 29, 2026, 11:35 am
