Berita Berita
Guru besar dipenjara 20 tahun, 11 sebatan hasilkan pornografi, amang seksual terhadap murid Tahun Enam
PUTRAJAYA 29 Okt – Seorang guru besar yang sebelum ini dibebaskan daripada pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap murid perempuan Tahun Enam akhirnya disabitkan kesalahan itu oleh Mahkamah Rayuan, hari ini.
Keputusan berkenaan menyaksikan Anuar Kintan, 59, dijatuhi hukuman keseluruhan penjara 20 tahun dan 11 sebatan atas kesalahan menghasilkan bahan pornografi serta melakukan amang seksual secara fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin yang bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan Anuar terhadap sabitan menghasilkan bahan pornografi.
Mahkamah turut mengetepikan keputusan terdahulu yang melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan kedua membabitkan amang seksual secara fizikal.
Susulan itu, Anuar disabitkan atas pertuduhan berkenaan dan dijatuhi hukuman penjara 11 tahun serta tiga sebatan.
Hakim Noorin yang membacakan keputusan panel turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan, menjadikan keseluruhan tempoh pemenjaraan 20 tahun.
Mahkamah juga mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap Anuar supaya dia mula menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini.
Sebelum keputusan itu, tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM14,000 bersama seorang penjamin selepas memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuannya.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan Anuar daripada pertuduhan ketiga dan keempat, masing-masing berkaitan amang seksual secara fizikal serta mengeluarkan kata-kata dengan niat supaya didengari mangsa bagi tujuan seksual.
Dalam penghakimannya, Hakim Noorin berkata, mangsa memberikan keterangan secara langsung dengan mengenal pasti Anuar sebagai individu yang mengambil gambar-gambar berkenaan.
Menurutnya, keterangan mangsa telah dinilai dan diterima oleh hakim Mahkamah Sesyen ketika perbicaraan.
Penemuan gambar terbabit turut disokong hasil pemeriksaan forensik yang mengesan imej berkenaan dalam telefon bimbit jenis Realme milik tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menolak hujah pembelaan bahawa keterangan alibi Anuar berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pihak pembelaan sebelum ini mengemukakan keterangan isteri tertuduh yang mendakwa suaminya berada di rumah bersamanya dan bukannya di sekolah ketika kejadian berlaku.
Namun, Hakim Noorin berkata, keterangan seorang rakan mangsa memberikan sokongan material terhadap kes pendakwaan berhubung kehadiran Anuar di sekolah pada 3 April 2021 serta pergerakannya bersama mangsa.
Oleh itu, mahkamah mendapati alibi yang dikemukakan tertuduh tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Mengikut rekod kes, pada 19 April 2024, Mahkamah Sesyen mensabitkan Anuar atas pertuduhan pertama menghasilkan bahan pornografi dengan mengambil gambar mangsa.
Mahkamah ketika itu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan, selain hukuman tambahan penjara setahun serta dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kedua-dua hukuman berkenaan diperintahkan berjalan serentak, manakala tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman bagi pertuduhan pertama kepada penjara sembilan tahun serta lapan sebatan, namun mengekalkan pembebasan tertuduh daripada tiga pertuduhan lain.
Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah sekolah di Perak pada pertengahan Mac 2021 dan 3 April tahun sama.
Dalam prosiding hari ini, Anuar diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmod dan P. Sarulatha.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 6:11 pm
CSA bukan perkara baharu, rakyat mesti jadi penerima manfaat terbesar - Fuziah Salleh
October 29, 2026, 4:29 pm
Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung pengajian pelajar 'straight' A SPM, PNGK 4.00 STPM hingga tamat
October 29, 2026, 12:20 pm
Hargai khidmat bakti, penjawat awam Kelantan termasuk status kontrak dapat bantuan khas RM1,500
October 29, 2026, 12:15 pm
Sungai Kim Kim tercemar lagi, JAS siasat air sungai bertukar jadi putih
October 29, 2026, 12:12 pm
Sumbangan Deepavali bukan 'gula-gula' PRN Melaka - Ab Rauf
October 29, 2026, 12:07 pm
Asas AI mula diajar di sekolah rendah menerusi kurikulum baharu 2027 - Fadhlina
October 29, 2026, 12:05 pm
Penunggang motosikal terlantar akibat kemalangan lapan tahun lalu terima ganti rugi RM1.94 juta
October 29, 2026, 12:01 pm
KDN kembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM susulan kes di mahkamah
October 29, 2026, 11:35 am
