TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota APMM maut, lepas bot dihimpit tekong PATI di Kuala Perlis selamat dikebumikan

By
|
Kongsi
image

KUALA NERANG 29 OKTOBER - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meninggal dunia manakala tiga lagi anggota cedera dalam kejadian pelanggaran bot ketika operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Sungai Padang, Kuala Perlis dekat Kangar baru-baru ini.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejadian berlaku pada 11.37 malam semasa lima anggota APMM berusaha menahan sebuah bot disyaki membawa pendatang tanpa izin warga Myanmar.

“Bot disyaki membawa pendatang asing itu bertindak memecut laju ke arah pantai apabila dikesan anggota APMM.

“Tindakan berkenaan menyebabkan anggota APMM mengejar bot terbabit selama 15 minit, bot itu kemudian dipercayai bertindak menghimpit bot samaran APMM sehingga menyebabkan bot samaran APMM berlanggar dengan struktur konkrit berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sungai Padang," katanya pada sidang media di Kangar semalam.

Beliau berkata, tiga anggota APMM tercampak ke laut dengan seorang daripadanya dilaporkan hilang sebelum ditemukan terapung kira-kira 1.30 pagi tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.

Romli berkata, tiga anggota yang mengalami kecederaan masing-masing dilaporkan mengalami patah pergelangan tangan serta kesakitan di bahagian dada dan kedua-dua rusuk, dengan kesemuanya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk rawatan.

Beliau berkata anggota yang meninggal dunia ialah Laskar Kanan Teknikal Maritim Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dan jenazahnya dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah selepas solat Asar, apabila urusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, selesai.

“Dalam kejadian itu, sembilan individu dipercayai pendatang tanpa izin warga Myanmar terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita serta dua tekong lelaki warga Thailand berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kesemua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya menambah mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.

Romli berkata APMM memandang serius kejadian itu dan akan memastikan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, dengan keselamatan anggota melaksanakan tugas penguatkuasaan sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata APMM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban dan menzahirkan penghargaan atas pengorbanan serta khidmat bakti beliau dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Jenazah Mohd Roshaimi selamat dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah dengan istiadat pengebumian dan kawalan jenazah oleh anggota Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 9.45 malam semalam.

Sebaik selesai pengebumian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa arwah bagi mengenang jasa bakti dan sumbangan Allahyarham kepada agensi serta negara.

Kedua-dua anak arwah iaitu Rayyan Shakimi, 14, dan Muhammad Rizqy Shazarin, 11, dilihat hadir pada pengebumian tersebut.

Kira-kira 500 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Roshaimi.

Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa serta anggota agensi berkenaan.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di masjid tersebut dengan diimamkan oleh Mohd Izhar Zakaria sebaik tiba dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar setelah selesai proses bedah siasat.

+ - reset