TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Itu bukan dana milik parti politik' - BERSIH kecam Anthony Loke umum bantuan RM1,000 ketika majlis PH hadapi PRN Melaka

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Okt – Pengumuman bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi ketika majlis politik Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengundang kritikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Jawatankuasa Pemandu BERSIH menyifatkan tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke itu sebagai tidak wajar kerana bantuan yang dibiayai menggunakan dana kerajaan tidak sepatutnya dikaitkan dengan acara kempen mana-mana parti politik.

Menurutnya, pengumuman berkenaan boleh menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat seolah-olah bantuan tersebut merupakan sumbangan parti yang bertanding, sedangkan sumber kewangannya adalah daripada hasil kerajaan.

BERSIH menegaskan dana awam perlu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat tanpa dijadikan bahan promosi politik yang berpotensi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah.

"Hasil daripada penjualan nombor pendaftaran khas yang digunakan untuk membiayai bantuan ini adalah hasil kerajaan yang sewajarnya dimanfaatkan untuk kebajikan semua rakyat.

"Ia bukan dana milik mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya diumumkan atau dipromosikan dalam acara kempen bagi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, BERSIH berpandangan penjelasan bahawa bantuan berkenaan diberikan kepada penerima di seluruh negara masih tidak menjawab persoalan utama berhubung pemilihan majlis pengumuman calon PH sebagai platform untuk membangkitkan bantuan kepada pemandu di Melaka.

Menurut gabungan itu, isu yang dipersoalkan bukan mengenai kelayakan penerima bantuan, sebaliknya tindakan mengumumkan inisiatif kerajaan dalam acara yang mempunyai kepentingan politik menjelang pilihan raya.

Terdahulu, Loke menafikan dakwaan bahawa bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Melaka bertujuan memancing undi pada PRN berkenaan.

Beliau menjelaskan insentif itu bukan khusus untuk Melaka, sebaliknya diberikan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang layak di seluruh negara.

Menurutnya, bantuan tersebut sudah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini.

Untuk rekod, bantuan berkenaan dibiayai menerusi hasil penjualan nombor pendaftaran khas H yang berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM91.21 juta.

Hasil kutipan itu turut digunakan bagi membiayai beberapa inisiatif kebajikan rakyat termasuk Program MyLesen, pemberian topi keledar percuma serta bantuan kewangan kepada pemandu teksi dan kereta sewa.

 

+ - reset