TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hakim tegur syarikat insurans jangan guna mahkamah untuk lengahkan 'claim', tekan mangsa terima pampasan rendah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA KUBU BHARU 5 Nov - Syarikat insurans diingatkan supaya tidak menyalahgunakan proses mahkamah untuk melengah-lengahkan tuntutan kemalangan jalan raya atau memberi tekanan kepada mangsa agar menerima bayaran pampasan lebih rendah daripada jumlah sewajarnya.

Peringatan tegas itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Saifullah Bhatti yang bersidang sebagai majistret ketika memutuskan kes tuntutan ganti rugi seorang ahli perniagaan susulan kemalangan membabitkan lorinya di Lebuhraya Utara-Selatan.

Menurut Saifullah, mahkamah bertanggungjawab memastikan proses kehakiman tidak dijadikan alat untuk membebankan pihak yang membuat tuntutan, terutama apabila defendan tidak mempunyai pembelaan yang sah.

Beliau berkata, tindakan memanjangkan prosiding tanpa alasan munasabah boleh menyebabkan mangsa menanggung kos guaman tinggi sehingga tuntutan mereka tidak lagi berbaloi untuk diteruskan.

"Mahkamah tidak boleh membenarkan penyalahgunaan proses kehakiman, termasuk situasi di mana syarikat insurans khususnya, menggunakan proses kehakiman untuk melengah-lengahkan saman.

"Ia sama ada untuk menyebabkan plaintif merasa bosan (dengan proses yang panjang), supaya bersetuju dengan penyelesaian lebih rendah, atau meningkatkan kos sehingga ke tahap di mana tuntutan itu jika diteruskan, tidak lagi memberi manfaat kepada plaintif," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam alasan penghakiman bertulis yang diterbitkan menerusi laman web Jabatan Kehakiman pada Rabu.

Dalam keputusan itu, mahkamah memerintahkan syarikat pengangkutan, 3S Teguh Transport Sdn Bhd dan pemandunya, Daniel Savarimuthu membayar ganti rugi RM43,605.10 kepada ahli perniagaan, Kathirrevan Suppiah.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua defendan membayar kos guaman sebanyak RM11,000, iaitu lebih dua kali ganda berbanding kadar RM5,300 yang ditetapkan mengikut skala kos dipinda.

Saifullah berkata, jumlah kos lebih tinggi itu wajar dikenakan berikutan tindakan defendan yang didapati melengah-lengahkan prosiding tanpa alasan munasabah walaupun tidak mempunyai bukti kukuh untuk mempertikaikan tuntutan plaintif.

"Sejak dari peringkat pliding (dokumen tuntutan saman) hingga ke perbicaraan kes, defendan tidak mempunyai pembelaan nyata terhadap tindakan ini.

"Pada penilaian saya, keseluruhan proses perbicaraan semata-mata untuk menangguhkan pembayaran tuntutan oleh defendan, atau menekan plaintif supaya berkemungkinan membatalkan tuntutannya," katanya.

Kes berkenaan berpunca daripada kemalangan pada 31 Julai 2024, kira-kira jam 3.30 pagi di Kilometer 412.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.

Ketika kejadian, lori milik Kathirrevan yang dipandu pekerjanya, Muhammad Ilias Abu Hasan sedang membawa bekalan perubatan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, lori tersebut melanggar tayar yang tercabut daripada lori milik defendan yang berada di lorong kecemasan, menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terbalik.

Kemalangan berkenaan mengakibatkan kerosakan pada lori serta bekalan perubatan yang dibawa.

Selepas meneliti keterangan, mahkamah mendapati defendan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemalangan itu dan menolak dakwaan bahawa pemandu lori plaintif turut menyumbang kepada kejadian.

Mahkamah kemudian memerintahkan defendan membayar RM16,605.10 bagi kerosakan bekalan perubatan serta RM27,000 sebagai pampasan kehilangan pendapatan sepanjang tiga bulan lori berkenaan menjalani kerja pembaikan.

Mengulas lanjut, Saifullah berkata, tuntutan kemalangan jalan raya sepatutnya dapat diselesaikan tanpa melalui perbicaraan penuh sekiranya tiada pertikaian yang sah mengenai tanggungjawab atau jumlah ganti rugi.

Menurutnya, syarikat insurans mempunyai kelebihan dari segi sumber kewangan dan perundangan termasuk pasukan eksekutif, panel peguam serta penyelaras tuntutan berbanding individu biasa yang membuat tuntutan.

Beliau berkata, keadaan itu boleh mewujudkan ketidakseimbangan antara kedua-dua pihak sekiranya proses mahkamah digunakan secara tidak wajar.

Sehubungan itu, pengenaan kos lebih tinggi dalam kes berkenaan bertujuan memberikan pengajaran terhadap tindakan litigasi yang tidak perlu, selain melindungi kepentingan pihak yang lebih lemah.

Saifullah menegaskan, undang-undang lalu lintas jalan raya diwujudkan bagi melindungi mangsa kemalangan dan memastikan tuntutan ganti rugi yang sah dapat diselesaikan dengan segera tanpa membebankan mereka dengan kos perundangan berlebihan.

Sumber: Harian Metro

+ - reset