TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tinggalkan kerusi untuk berbahas cetus persoalan di DUN Selangor

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 17 Nov. – Tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor bangun meninggalkan kerusi Speaker bagi mengambil tempat sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands untuk membahaskan Belanjawan 2027 semalam turut mencetuskan persoalan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang menyifatkan situasi tersebut sebagai janggal, selain meminta penjelasan rasmi sama ada amalan sedemikian dibenarkan di DUN Selangor.

Beliau mengemukakan pertanyaan tersebut sebelum sesi pertanyaan lisan bermula bagi mendapatkan petua daripada Timbalan Speaker DUN Selangor sekiranya situasi sama berlaku melibatkan kepimpinan Dewan di peringkat negeri.

Menjawab persoalan berkenaan, Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd Kamri Kamaruddin menjelaskan bahawa tindakan Ramli di Parlimen dipercayai merujuk kepada peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 99A.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa urusan serta tafsiran peraturan tersebut terserah sepenuhnya kepada pihak pengurusan Parlimen untuk menanganinya.

Bagi persidangan DUN Selangor pula, Mohd Kamri menekankan bahawa perjalanan sidang tertakluk sepenuhnya kepada buku peraturan mesyuarat yang telah digubal dan ditetapkan khas oleh Dewan Negeri Selangor.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ramli berbahas mengenai penangguhan projek jalan raya di kawasan Parlimennya ketika sesi jawatankuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang dipengerusikan sendiri oleh beliau, sebelum tindakannya dibantah oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset