TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis cari waris mayat lelaki bertatu bintang ditemui hanyut di Sungai Buloh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 17 Nov. – Pihak polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki yang mayatnya ditemukan hanyut di sungai berhampiran Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut daripada orang awam pada jam 9.35 pagi.

Menurut beliau, identiti serta status kewarganegaraan mangsa masih belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat.

Pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki berbadan berisi yang mempunyai tatu berbentuk bintang di bahagian leher kanan itu ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, hanya memakai seluar jean biru dan stokin, selain terdapat kecederaan pada kulit di bahagian lengan kirinya.

Proses bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi forensik pada jam 7.40 malam hari yang sama di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.

Setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan identiti si mati diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz Seleman di talian 016-450 7492 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset