TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas cedera parah bertembung motosikal ditunggang lelaki positif dadah di Pendang

By
|
Kongsi
image

PENDANG, 18 Nov. – Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di jalan Kampung Alor Belat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa berusia 62 tahun mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang leher, tangan kanan, dan rusuk.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati insiden berlaku apabila sebuah motosikal jenis SYM BX110 yang ditunggang lelaki berusia 38 tahun dari arah Alor Setar menghala ke Tokai hilang kawalan sebelum bergesel dengan motosikal Honda NF125M ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

Akibat pergeseran tersebut, mangsa warga emas terbabit tercampak ke bahu jalan sebelah kiri sebelum terjatuh ke dalam tali air, manakala penunggang berusia 38 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan bahu.

Rodzi memaklumkan bahawa hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek berusia 38 tahun itu mendapati dia positif tiga jenis dadah iaitu Amphetamine, Methamphetamine, dan Morphine.

Semakan rekod jenayah lampau turut mendapati lelaki terbabit memiliki dua rekod kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.

Pada masa sama, pihak polis menafikan dakwaan yang tular kononnya kemalangan berkenaan berpunca daripada kejadian samun ragut. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset