TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada serangan sebenar berlaku, hanya latihan simulasi kecemasan di KLCC uji kesiapsiagaan operasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 27 Nov. – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah melaksanakan latihan simulasi kecemasan di Gas District Cooling Plant, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semalam bagi menguji keupayaan anggota dalam menangani insiden berisiko tinggi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, simulasi berkenaan melibatkan beberapa senario kecemasan yang dirangka khusus untuk menilai tahap kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan tindakan segera, kawalan kawasan serta pengurusan keselamatan orang awam.

Menurutnya dalam satu kenyataan media, beliau bertindak sebagai Group Commander bagi menggerakkan sumber manusia dan aset operasi sepanjang latihan tersebut berlangsung bagi memastikan setiap gerak kerja di lapangan berjalan pantas, teratur serta berkesan.

Latihan berkenaan turut memperlihatkan kerjasama erat dan sinergi operasi antara IPD Dang Wangi bersama agensi sahabat merangkumi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau menjelaskan kesepaduan tindakan, perkongsian kepakaran dan penyelarasan sumber antara agensi menjadi tunjang utama dalam memastikan sebarang insiden dapat ditangani secara bersepadu dan sistematik demi menjamin keselamatan awam.

Polis turut mengesahkan tiada sebarang kejadian serangan sebenar berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset