Berita Dunia
Afrika masih tunggu vaksin, jangkitan mpox cecah 16,700 kes, 548 korban

KINSHASA 20 Ogos - Kes dan kematian Mpox (cacar monyet) melonjak di Republik Demokratik Congo (DRC) ketika negara Afrika tengah itu menunggu vaksin dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, kata Menteri Kesihatan Samuel-Roger Kamba semalam.
Kamba berkata, jumlah korban tahun ini melonjak dalam beberapa hari daripada 16,000 kes dan 548 kematian kepada 16,700 kes bersama lebih 570 kematian.
“Kita bercakap tentang kecemasan peringkat benua,” kata Kamba pada satu taklimat akhbar ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru negara-negara terjejas untuk meningkatkan program vaksinasi bagi melawan jangkitan mpox yang lebih membawa maut.
WHO pada Rabu minggu lepas mengisytiharkan lonjakan jangkitan mpox di Benua Afrika sebagai darurat kesihatan awam global. Wabak mpox turut dilaporkan di Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda sejak Julai lalu. Satu kes varian berbahaya Clade 1 juga dikesan di Sweden.
AS telah menjanjikan 50,000 dos vaksin mpox untuk DRC, manakala Jepun semalam bersetuju menghantar 3.5 juta dos ‘hanya untuk kanak-kanak’, kata sumber perubatan, yang tidak mahu namanya disiarkan kepada AFP.
Sumber itu berkata, DRC bercadang memberi vaksin kepada empat juta orang termasuk 3.5 juta kanak-kanak.
“Saya harap pada minggu depan kita dapat melihat vaksin tiba,” kata Kamba.
“Vaksin adalah penyelesaian kepada masalah kami,” tambahnya yang menggesa orang ramai mengambil suntikan vaksin.
“Kami telah menyediakan pelan vaksinasi strategik. Kami hanya menunggu vaksin tiba,” tambahnya.
Kes mpox kini muncul di semua 26 wilayah di DRC. Negara itu mempunyai kira-kira 100 juta penduduk.
Walaupun mpox diketahui wujud selama beberapa dekad, varian baharu yang lebih mematikan dan lebih mudah berjangkit, clade 1b menyebabkan kematian dalam kira-kira 3.6 peratus kes, dengan kanak-kanak lebih berisiko, demikian menurut WHO
Kamba berkata, mpox menjangkiti golongan lebih muda di DRC dan terdapat ramai kanak-kanak bawah umur 15 tahun yang telah terjejas.
Sebanyak 18,737 kes yang disyaki atau disahkan mpox telah dilaporkan di Afrika sejak awal tahun ini, termasuk 1,200 kes dalam masa cuma seminggu, kata agensi kesihatan Kesatuan Afrika Sabtu lepas.
Dahulunya dipanggil cacar monyet, virus itu ditemui pada tahun 1958 di Denmark, dalam monyet yang disimpan untuk tujuan penyelidikan.
Ia pertama kali dikesan menjangkiti manusia pada tahun 1970 di kawasan yang kini dikenali sebagai DRC. – AFP
Berita berkaitan
June 18, 2025, 2:06 pm
Ribuan penduduk Israel larikan diri ke Cyprus melalui laut susulan konflik dengan Iran
June 18, 2025, 12:09 pm
Gunung berapi meletus di Indonesia, 24 penerbangan keluar masuk ke Bali dibatalkan
June 17, 2025, 3:11 pm
CPJ kutuk serangan Israel terhadap stesen TV Iran
June 17, 2025, 12:15 pm
Pesawat British Airways ke India patah balik akibat kerosakan sayap
June 17, 2025, 11:17 am
Warga China diminta segera tinggalkan Israel, disaran ke Jordan
June 13, 2025, 10:23 am
Israel sah serang Tehran, Iran siap sedia barisan tentera
June 12, 2025, 5:08 pm
Pesawat Air India bawa 242 penumpang terhempas selepas berlepas dari Ahmedabad
June 9, 2025, 3:25 pm
AS kuatkuasa larangan kemasukan rakyat dari 12 negara
June 4, 2025, 11:44 am