Berita Dunia
Pengasas aplikasi Telegram ditahan kerana pornografi kanak-kanak

PARIS 27 Ogos - Pengasas aplikasi mesej Telegram, Pavel Durov, ditahan di Perancis bagi siasatan terhadap jenayah termasuk pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan transaksi penipuan di platform miliknya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengesahkan penahanan Durov, yang dilakukan di Lapangan Terbang Le Bourget di luar Paris pada petang Sabtu.
"Penangkapan presiden Telegram di wilayah Perancis berlaku sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang sedang dijalankan.
"Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan," tulis Macron di X.
Macron menegaskan bahawa tidak ada motif politik dalam penahanan terbabit walaupun terdapat banyak komen palsu di dalam talian, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada siasatan jenayah.
Tambah beliau, Perancis tetap komited terhadap kebebasan bersuara yang sah.
Sementara itu, Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, mengeluarkan kenyataan bahawa Durov ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap seseorang yang tidak dinamakan, dilancarkan oleh Unit Jenayah Siber pejabatnya pada 8 Julai.
Siasatan itu adalah berhubung kes disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk menjalankan platform dalam talian yang membenarkan transaksi haram, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.
Dakwaan lain termasuk keengganan untuk menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa, pengubahan wang haram dan menyediakan perkhidmatan kriptografi kepada penjenayah, menurut kenyataan itu.
Tambah Beccuau, Durov boleh ditahan sehingga Rabu waktu tempatan manakala Reuters tidak dapat menghubungi mana-mana peguam yang mewakili Durov.
Durov, seorang bilionair berusia 39 tahun yang turut digelar sebagai 'Mark Zuckerberg dari Russia' mempunyai dua kewarganegaraan Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dianggarkan oleh Forbes mempunyai kekayaan sebanyak AS$15.5 bilion (RM67.3 bilion), Durov pada April lalu berkata beberapa kerajaan berusaha untuk menekannya, tetapi aplikasi itu harus kekal sebagai platform neutral dan bukan 'alat geopolitik'. - Agensi
Berita berkaitan
June 18, 2025, 2:06 pm
Ribuan penduduk Israel larikan diri ke Cyprus melalui laut susulan konflik dengan Iran
June 18, 2025, 12:09 pm
Gunung berapi meletus di Indonesia, 24 penerbangan keluar masuk ke Bali dibatalkan
June 17, 2025, 3:11 pm
CPJ kutuk serangan Israel terhadap stesen TV Iran
June 17, 2025, 12:15 pm
Pesawat British Airways ke India patah balik akibat kerosakan sayap
June 17, 2025, 11:17 am
Warga China diminta segera tinggalkan Israel, disaran ke Jordan
June 13, 2025, 10:23 am
Israel sah serang Tehran, Iran siap sedia barisan tentera
June 12, 2025, 5:08 pm
Pesawat Air India bawa 242 penumpang terhempas selepas berlepas dari Ahmedabad
June 9, 2025, 3:25 pm
AS kuatkuasa larangan kemasukan rakyat dari 12 negara
June 4, 2025, 11:44 am