TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

3 kakitangan bank ditahan disyaki terlibat rasuah, pengubahan wang haram permohonan pinjaman RM21 juta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Mei – Tiga pegawai kanan daripada dua institusi perbankan tempatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan permohonan pinjaman bernilai lebih RM21 juta.

Mereka terdiri daripada seorang pengurus cawangan, ketua jabatan dan pengurus perniagaan. Ketiga-tiga suspek ditahan antara jam 4 hingga 5 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut sumber, ketiga-tiga individu terbabit dipercayai secara bersama memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sepanjang tahun ini.

"Berdasarkan siasatan awal SPRM, salah seorang suspek berjawatan ketua jabatan itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta.

"Wang rasuah itu sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan," katanya.

Susulan penahanan itu, SPRM turut mengambil langkah menyita tiga peranti telekomunikasi serta sebuah komputer riba, selain membekukan empat akaun bank milik individu yang dianggarkan bernilai RM268,000.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek terbabit.

"Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok pagi," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

+ - reset