TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis buru dua lelaki pecah masuk sekolah agama di Bukit Jelutong

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 30 Mei – Polis kini giat mengesan dua lelaki yang tular di media sosial susulan tindakan mereka memecah masuk sebuah sekolah rendah agama di Bukit Jelutong, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 10.45 malam hingga 11.30 malam pada 10 Mei lalu, sebelum laporan diterima keesokan harinya jam 3.09 petang oleh timbalan pengarah sekolah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memasuki premis melalui pintu belakang dan melarikan wang tunai sebanyak RM100 dari peti wang koperasi serta RM1,500 dari sebuah laci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk bangunan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.

Pihak polis kini sedang menjalankan usaha intensif bagi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Hanafi di talian 010-3727932,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal turut menasihati orang ramai supaya memastikan premis ditinggalkan dalam keadaan selamat dan barangan berharga disimpan dengan rapi.

Terdahulu, penyanyi dan pempengaruh Caprice memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial yang memaparkan dua lelaki, termasuk seorang yang memakai kopiah, sedang memecah masuk premis berkenaan.

Salah seorang anak pemilik sekolah swasta itu turut mendakwa bahawa sekolah tersebut pernah beberapa kali dipecah masuk sebelum ini, dipercayai oleh individu yang sama. – Media Telus.

+ - reset