Berita Berita
Baru 20 minit diikat jamin, pemandu lori batu kes FRU ditahan semula disyaki curi lembu

TELUK INTAN 19 Mei – Seorang pemandu lori yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam satu kemalangan pada 13 Mei lalu, ditahan semula hari ini berhubung kes kecurian lembu.
Suspek, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di pejabat kaunter pembayaran jamin Mahkamah Teluk Intan hanya 20 minit selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah berkaitan kes kemalangan.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, penahanan suspek dibuat bagi membantu siasatan kes curi dua ekor lembu di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang yang dilaporkan berlaku pada April lalu.
“Satu laporan polis telah diterima pada 14 April daripada seorang lelaki tempatan yang mendakwa kehilangan dua lembu miliknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohammad Ali turut memaklumkan bahawa suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, Rudi Zulkarnain dibebaskan daripada lokap IPD Hilir Perak selepas membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, berhubung sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Jumaat lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas kesemua pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan selesai, selain perlu melapor diri setiap minggu di balai polis berhampiran sebagai syarat tambahan jaminan.
Berita berkaitan
May 19, 2025, 8:20 pm
Menteri Agama sahkan seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci
May 19, 2025, 8:09 pm
Kes abang belon: Bapa 5 anak didenda RM6,000 ugut, hasut penguat kuasa DBKL
May 19, 2025, 7:43 pm
Lelaki berselisih ajal dipanah petir ketika tutup pintu kereta di Jasin
May 19, 2025, 7:17 pm
Amalan 'cash is king' akan kembali jika Najib jadi PM lagi - Tun M
May 19, 2025, 4:38 pm
6 lebuh raya dan 25 jalan utama ditutup sementera sempena Sidang Kemuncak ASEAN
May 19, 2025, 4:31 pm
Kementerian Pertahanan siasat dakwaan cermin tingkap pecah akibat latihan udara LIMA’25
May 19, 2025, 4:20 pm