TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penyalahgunaan dadah kritikal, 192,857 penagih direkodkan di Malaysia

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penyalahgunaan dadah di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan dan menjadi ancaman serius kepada keselamatan, ekonomi serta struktur sosial negara.

Menurut beliau, sebanyak 192,857 individu direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dan ketagihan dadah pada tahun 2024, dengan 61 peratus daripadanya berumur antara 15 hingga 39 tahun, dan 96 peratus adalah lelaki.

“Faktor utama yang mendorong penyalahgunaan dadah termasuk pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah hari ini.

Kelantan mencatat kadar tertinggi dengan 1,130 penagih bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Terengganu (974), Perlis (965) dan Kedah (898).

Pelan Antidadah Baharu Diluluskan

Bagi menangani krisis ini, kerajaan telah meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah 2025-2027 yang menekankan perubahan sikap, peningkatan kesedaran dan maklumat tepat secara kolektif merentas agensi.

Dalam usaha memperkukuh rawatan, Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC) menggunakan pendekatan "Single Point Entry" bagi mempercepatkan intervensi untuk Orang Kena Tahan (OKT). Sehingga 5 April lalu, 261 OKT telah menjalani penilaian di DAC Kuala Muda, Kedah.

Vape ‘Mushroom’ Beri Ancaman Baharu

Ahmad Zahid turut memaklumkan mengenai dapatan Pusat Racun Negara yang mengesan kemunculan vape perisa 'mushroom' mengandungi bahan psikoaktif seperti psilosibin dan psilosin, yang berisiko menyebabkan halusinasi dan gangguan mental – khususnya kepada kanak-kanak dan belia.

Pendekatan Menyeluruh Lawan Dadah

Kerajaan turut menggunakan Crime Data Network Analysis untuk mengenal pasti pola jenayah berkaitan dadah dengan lebih tepat, sekali gus membantu perancangan strategi yang bersasar dan berkesan.

“Kita tidak akan berkompromi dalam pelaksanaan Dasar Dadah Negara yang merangkumi pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan,” tegas Ahmad Zahid.

Beliau menyeru semua pihak termasuk rakyat dan pertubuhan masyarakat sivil untuk bersama dalam usaha menjadikan Malaysia bebas daripada ancaman dadah.

“Ini perjuangan kita bersama. Demi generasi masa depan, kita tidak akan berganjak walau seinci,” katanya. - Media Telus

+ - reset