TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu lori nahas FRU dibebaskan dengan jaminan RM6,000

By
|
Kongsi
image

IPOH 19 Mei - Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tragik mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu, dibebaskan hari ini selepas wang jaminan sebanyak RM6,000 dibayar oleh majikannya.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, sebelum ini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sementara menunggu prosiding seterusnya di mahkamah.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin, pembayaran jaminan dibuat di Mahkamah Teluk Intan pagi tadi.

“Pemandu lori itu akan dibebaskan dengan jaminan mahkamah selepas wang jaminan sebanyak RM6,000 dibayar oleh majikannya bersama seorang penjamin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, wang jaminan itu dikumpulkan hasil sumbangan bersama antara majikan dan rakan-rakan tertuduh menerusi kaedah ‘sharing to raise up fund’.

Mengaku Tidak Bersalah, Hadapi 9 Pertuduhan

Pada 16 Mei lalu, Rudi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin terhadap sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU dalam insiden di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Slim River.

Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan kepada tertuduh, termasuk penggantungan lesen memandu sehingga kes selesai dan keperluan untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Kes dijadualkan untuk sebutan semula pada 17 Jun 2025. - Media Telus

+ - reset