TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sidang Kemuncak ASEAN: Hampir 800 anggota trafik kawal lalu lintas di KL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Mei - Sebanyak 789 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) digerakkan bagi mengawal aliran trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan berlangsung di ibu kota minggu ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, selain petugas, sejumlah 539 aset trafik pelbagai jenis turut dikerah, termasuk 313 motosikal berkuasa tinggi, 190 motosikal ringan, 36 kenderaan peronda dan peralatan komunikasi.

“Kesiapsiagaan tinggi amat penting kerana pergerakan delegasi bermula 23 Mei ini. Semua petugas sudah diberi latihan dan taklimat agar tahu peranan masing-masing, termasuk jika berlaku situasi luar jangka,” katanya dalam sidang media di PULAPOL, hari ini.

Operasi kawalan trafik penuh akan bermula dari 23 hingga 28 Mei, selari dengan ketibaan delegasi asing secara berperingkat. Raptai dan ujian laluan pula dijadualkan pada 21 dan 22 Mei.

Pasukan JSPT akan mengendalikan kawalan laluan, pengiring konvoi, pemantauan persimpangan utama dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya. Kamera sistem On Board Camera (OBC) turut digunakan untuk memastikan ketelusan dan pematuhan petugas.

Penutupan Laluan, Operasi Tunda dan Larangan Kenderaan Berat

Beberapa laluan utama termasuk lebuh raya sekitar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat. Kenderaan yang menghalang laluan akan ditunda serta-merta.

Kenderaan perdagangan dan berat pula dilarang memasuki pusat bandar dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam sepanjang tempoh persidangan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang ingkar. Operasi khas seperti Ops Samseng Jalanan juga akan diteruskan sepanjang tempoh ini,” tambah beliau.

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan pengangkutan awam dan sentiasa mematuhi arahan petugas bagi mengelak kesesakan. - Media Telus

+ - reset