Berita Berita
Subsidi tamat: Semua keputusan kerajaan berdasarkan kajian, pertimbangan mendalam - Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kerajaan membuat keputusan menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam serta menyasar semula subsidi telur selepas pertimbangan mendalam dan kajian rapi, demi kepentingan jangka panjang rakyat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaupun tidak semua dasar memberi kesan serta-merta, namun dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan konsisten, hasil positif akan dapat dirasai rakyat dalam jangka masa panjang.
"Sejak 2022, kerajaan sudah membelanjakan RM2.5 bilion untuk subsidi telur, satu angka besar yang tidak mampan jika diteruskan lagi.
"Lagi satu, subsidi itu selama ini turut dinikmati golongan kaya dan warga asing. Tak adil. Jadi kita salur semula kepada projek yang benar-benar bantu rakyat selaras dengan nilai MADANI," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mulai 1 Mei lalu, subsidi telur telah dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, dan akan dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Mengulas mengenai penamatan kawalan harga dan subsidi ayam bermula 1 November 2023, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata langkah berkenaan dibuat agar penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan semula secara lebih strategik.
"Kita mahu reban ayam yang lama dibuka semula, sistem ternakan dinaik taraf dan penternak kecil diberi kemudahan pembiayaan. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pengeluaran ayam negara dan makanan rakyat terjamin," ujarnya.
Mohamad berkata demikian ketika berkunjung ke Pejabat Nan Yang Siang Pau petang tadi, di mana beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas peranan mereka dalam menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat.
"Bang Mat mahu lihat semua anak bangsa – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang ada – terus maju serta makmur dalam negara yang sejahtera.
"Media juga harus memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan rakyatnya bersatu hati," katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
June 5, 2025, 1:01 pm
Makin 'maju, warga asing kini jadi ejen 'homestay'
June 5, 2025, 12:36 pm
Malaysia kecewa UNSC gagal lagi lulus resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza
June 5, 2025, 12:24 pm
Lapan penuntut UMT didakwa pukul rakan hingga parah dalam asrama, mengaku tidak bersalah
June 5, 2025, 12:15 pm
Sultan Brunei puji mutu perkhidmatan IJN setaraf antarabangsa
June 5, 2025, 11:51 am
Remaja OKU hilang dalam hutan ketika cari lembu peliharaan, operasi SAR diteruskan
June 5, 2025, 11:51 am