Berita Berita
Malaysia berjaya jadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 - Anwar

PUTRAJAYA 29 Mei – Kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini adalah hasil kecekapan, dedikasi dan kerjasama semua pihak yang terlibat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelancaran persidangan itu adalah hasil komitmen luar biasa dari jentera kerajaan termasuk orang awam yang memahami tanggungjawab Malaysia sebagai tuan rumah.
“Saya melihat kecemerlangan di semua peringkat, penjawat awam kita sangat cemerlang. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, imigresen, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pengurusan hotel, sehingga Kementerian Luar mengkoordinasi semuanya dan Jabatan Perdana Menteri mengurus protokol.
“Bahkan saya sendiri terharu dengan protokol itu, tetapi saya hormati arahan pegawai yang mengarah saya sebagai perdana menteri. Saya ikut semua. Kenapa? Kerana kita sebuah negara berperaturan dan kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar turut memuji kerjasama pemimpin ASEAN dalam membuat keputusan secara kolektif sambil menghormati kepentingan negara masing-masing.
“Kita terpaksa membuat keputusan berdasarkan persefahaman bersama dalam menghadapi tarif Presiden Trump. Setiap negara ada strategi sendiri yang melibatkan hubungan dua hala, namun kita juga mahu menjaga kepentingan lebih 650 juta rakyat ASEAN.
“Tiada keputusan Malaysia yang boleh menjejaskan negara lain, begitu juga keputusan Vietnam, contohnya, tidak boleh memburukkan pihak lain. Kita bekerja sebagai satu pasukan,” tambahnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir pada 27 Mei lalu melibatkan siri mesyuarat peringkat tinggi untuk meningkatkan kerjasama serantau dan mengukuhkan kerjasama strategik.
Dalam tempoh dua hari, pemimpin ASEAN turut menghadiri beberapa mesyuarat utama termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung dan Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ke-46 dengan tema “Inclusion and Sustainability”, menjadikannya kali kelima negara ini memegang jawatan pengerusi sejak 1977, 1997, 2005 dan 2015.– Media Telus
Berita berkaitan
June 5, 2025, 1:01 pm
Makin 'maju, warga asing kini jadi ejen 'homestay'
June 5, 2025, 12:36 pm
Malaysia kecewa UNSC gagal lagi lulus resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza
June 5, 2025, 12:24 pm
Lapan penuntut UMT didakwa pukul rakan hingga parah dalam asrama, mengaku tidak bersalah
June 5, 2025, 12:15 pm
Sultan Brunei puji mutu perkhidmatan IJN setaraf antarabangsa
June 5, 2025, 11:51 am
Remaja OKU hilang dalam hutan ketika cari lembu peliharaan, operasi SAR diteruskan
June 5, 2025, 11:51 am