TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Guna akal sebelum buat keputusan' - Agong tegur pemimpin jangan main isu sensitif demi kepentingan politik

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menitipkan peringatan tegas kepada para pemimpin masyarakat agar tidak memperjudikan isu-isu sensitif demi kepentingan politik, kerana tindakan itu hanya akan mencetuskan perpecahan dan mengancam kestabilan negara.

Dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa kewujudan terlalu banyak parti atau kem dalam parti hanya akan mengundang permusuhan sesama rakyat.

“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu-padu,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim turut menyentuh mengenai ‘virus’ yang pernah Baginda nyatakan sebelum ini, kini semakin jelas menular dan sukar dibendung — merujuk kepada budaya politik toksik dan perpecahan yang berterusan.

“Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa,” titah Baginda lagi.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, serta barisan menteri kabinet.

Sultan Ibrahim dalam titahnya turut menyeru rakyat untuk terus memperkukuh perpaduan sebagai hadiah terbaik buat Seri Paduka Baginda sempena hari keputeraan rasmi kali ini.

Baginda juga memaklumkan bahawa Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan akan diadakan tidak lama lagi, dengan tujuan meninjau sendiri kehidupan rakyat serta mengagihkan wang zakat kepada golongan miskin dan asnaf.

“Saya mahu melihat sendiri keadaan rakyat jelata dan memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan,” titah Baginda penuh makna.

+ - reset