TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis Perlis tumpas sindiket dadah, rampas syabu dan ganja bernilai RM13.15 juta

By
|
Kongsi
image

KANGAR 2 Jun – Polis Perlis berjaya menumpaskan dua kes pengedaran dadah dengan rampasan syabu dan ganja bernilai keseluruhan RM13.15 juta dalam dua serbuan berasingan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, rampasan terbesar melibatkan dadah jenis syabu seberat 365 kilogram bernilai RM13.14 juta hasil serbuan di Kampung Belat Batu, Beseri.

Dalam serbuan sekitar jam 4 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan bersama 17 guni berisi syabu yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan jenis Proton Waja.

“Modus operandi suspek dipercayai menggunakan kawasan hutan di sekitar Padang Besar sebagai lokasi transit sebelum bekalan dibawa ke selatan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar di sini, Isnin.

Menurut beliau, jumlah syabu yang dirampas itu mampu menampung keperluan seramai 3.6 juta penagih.

Hasil saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Suspek kini direman tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Aset suspek berupa kereta Proton Waja bernilai RM15,000 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri semasa serbuan.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada hari sama, seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun diberkas di Taman Singgah Sana, Padang Besar, bersama dua kilogram ganja mampat.

“Bertindak atas maklumat awam, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Besar berjaya menahan suspek dan menemui dua bungkusan ganja yang disembunyikan dalam tong sampah,” katanya.

Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,200 dan mampu digunakan kira-kira 20,000 penagih. Hasil ujian air kencing menunjukkan suspek turut positif methamphetamine dan direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B akta yang sama.

Sebuah motosikal jenis Honda Vario milik suspek bernilai RM6,000 turut disita. – Media Telus

+ - reset