Berita Berita
Pelancong British hilang di Kuala Lumpur, kali terakhir dikesan di pub Bangsar

KUALA LUMPUR 2 Jun - Seorang lelaki warga Britain, Jordan Johnson-Doyle, 25 tahun, dikhuatiri hilang ketika mengembara secara solo di ibu kota, dengan lokasi terakhir dikesan di sebuah premis hiburan di Bangsar pada 27 Mei lalu.
Menurut laporan media antarabangsa Daily Mail, Jordan terakhir kali berhubung dengan keluarganya apabila menghantar gambar poster acara kuiz yang dianjurkan di premis hiburan tersebut kepada rakannya, sekitar jam 8 malam pada hari kejadian.
Difahamkan, Jordan tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas mengembara ke beberapa negara di Asia Tenggara. Sepanjang berada di Kuala Lumpur, dia dipercayai menginap di sebuah residensi di kawasan Bukit Bintang.
Ibunya, Leanne Burnett, berkata komunikasi terakhir bersama anaknya berlaku pada 26 Mei, dan sejak itu tiada sebarang khabar berita diterima.
“Saya berasa sangat cemas dan bingung. Saya hanya mahu ke sana, mencarinya dan membawanya pulang ke rumah,” katanya dalam laporan Daily Mail.
Leanne menyatakan bahawa lokasi terakhir telefon anaknya dikesan menggunakan fungsi ‘Find My iPhone’ adalah di sekitar blok kediaman di Bukit Bintang, namun peranti itu tidak lagi aktif sejak 30 Mei.
Cubaan menghubungi Jordan menerusi media sosial dan aplikasi mesej juga gagal, membuatkan keluarga semakin bimbang akan keselamatannya.
Susulan kehilangan itu, keluarga Jordan telah membuat laporan polis di United Kingdom serta menghubungi Konsulat British di Kuala Lumpur.
Bapanya telah berlepas ke Kuala Lumpur semalam, dan beberapa ahli keluarga serta rakan-rakan turut dijadualkan tiba dalam masa terdekat bagi meneruskan pencarian secara langsung.
Keluarga turut menggerakkan kempen di media sosial dan pelbagai saluran komunikasi awam bagi meminta bantuan orang ramai dalam menjejaki Jordan.
Setakat ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kes kehilangan pelancong warga asing ini.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jordan Johnson-Doyle diminta tampil membantu dengan menghubungi pihak berkuasa atau pihak konsulat British di Kuala Lumpur.
Berita berkaitan
June 5, 2025, 1:01 pm
Makin 'maju, warga asing kini jadi ejen 'homestay'
June 5, 2025, 12:36 pm
Malaysia kecewa UNSC gagal lagi lulus resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza
June 5, 2025, 12:24 pm
Lapan penuntut UMT didakwa pukul rakan hingga parah dalam asrama, mengaku tidak bersalah
June 5, 2025, 12:15 pm
Sultan Brunei puji mutu perkhidmatan IJN setaraf antarabangsa
June 5, 2025, 11:51 am
Remaja OKU hilang dalam hutan ketika cari lembu peliharaan, operasi SAR diteruskan
June 5, 2025, 11:51 am