TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar sanjung kebijaksanaan pemerintahan Sultan Ibrahim

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sebagai lambang keluhuran dan penyatuan negara.

Beliau berkata, kebijaksanaan dan titah baginda sentiasa menjadi panduan luhur bagi Kerajaan MADANI dalam menggubal dasar serta melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Titah baginda juga menjadi panduan luhur dalam membentuk dan melakar dasar serta melaksanakan tanggungjawab, menjunjung aspirasi rakyat dan memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Antara yang hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta barisan jemaah menteri.

Anwar turut menzahirkan rasa hormat dan kesetiaan tidak berbelah bahagi seluruh rakyat kepada Sultan Ibrahim, serta menyeru kepada usaha kolektif dalam membina kemajuan dan kesejahteraan negara. – Media Telus

+ - reset