TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suasana pilu selubungi UPSI, lima mahasiswi Jabatan Pengajian Islam terlibat nahas

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 10 Jun – Suasana penuh hiba menyelubungi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, susulan tragedi kemalangan bas yang meragut nyawa 15 penuntut institusi tersebut.

Lima mahasiswi daripada Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI turut terlibat dalam nahas itu. Dua daripada mereka disahkan meninggal dunia, seorang dalam keadaan kritikal, seorang lagi cedera parah manakala seorang mengalami patah tangan.

Sebuah video tular di media sosial menunjukkan seorang pensyarah tidak dapat menahan tangisan ketika sesi kuliah pagi, menggambarkan kesan mendalam yang dirasai warga UPSI.

Profesor Madya Dr Zulfiqar Shah A Hadi turut menzahirkan kesedihan melalui satu hantaran di Facebook atas kehilangan anak didiknya.

“Permulaan kelas tadi, suasana pilu di UPSI. Sungguh kami berduka. Lima mahasiswi, anak didik kami di FSK UPSI terlibat dalam kemalangan ini.
Dua daripadanya meninggal dunia, seorang cedera kritikal (pembedahan segera di kepala), seorang cedera parah (dalam rawatan) dan seorang patah tangan. Moga Allah mudahkan segalanya,” tulis beliau.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Terengganu ke Tanjung Malim bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding.

Nahas itu meragut 15 nyawa pelajar dan disifatkan antara tragedi kemalangan maut terburuk yang melibatkan institusi pengajian tinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. – Media Telus

+ - reset