TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bas ekspres langgar lori, 20 pelajar UMPSA selamat

By
|
Kongsi
image

MARAN 4 Jun – Seramai 28 penumpang termasuk 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Timur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, bas ekspres milik LA Holidays Travel and Tours Sdn. Bhd. dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menuju ke Terminal Sentral Kuantan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata siasatan awal mendapati bas yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu merempuh bahagian belakang lori jenis Nissan MK262 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri lebuh raya.

“Ketika kejadian, lori treler berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri apabila secara tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh bas yang membawa 28 penumpang termasuk mahasiswa universiti,” katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan semua mangsa termasuk kedua-dua pemandu dan kelindan lori. Kesemua penumpang dipindahkan ke bas gantian sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan semasa berada di lorong sama.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA, Haykal memaklumkan kesemua 20 pelajar yang menaiki bas terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pelajar tiba di perkarangan Masjid UMPSA, Kampus Gambang kira-kira pukul 3.56 pagi dan disambut pasukan MPP yang turut membantu memastikan mereka dihantar pulang dengan selamat ke kolej kediaman masing-masing,” ujarnya. – Media Telus

+ - reset