TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dr Mahathir dakwa Anwar guna kekebalan elak ke mahkamah

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 10 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang cuba mengelakkan dirinya daripada dibicarakan di mahkamah dengan berselindung di sebalik kekebalan yang didakwa diberikan kepada seorang Perdana Menteri.

Menurut Dr Mahathir, tindakan Anwar menimbulkan persoalan mengapa beliau tidak mahu melalui proses perundangan sekiranya yakin tidak bersalah.

“Kalau yakin tidak bersalah, maka lebih baik jika mahkamah sendiri membuat keputusan itu. Tetapi jika cuba dielakkan, maka senario itu memberikan gambaran bahawa ada sesuatu yang disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kekebalan itu hanya terpakai kepada satu kes sahaja atau akan digunakan untuk kes-kes lain pada masa akan datang.

“Kalau satu kes diberi kekebalan, maka tidak mustahil kes-kes lain juga akan turut ‘immune’. Jadi kalau begitu, Perdana Menteri bunuh orang pun tidak mengapa,” sindir beliau.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir juga mengkritik pelaksanaan undang-undang di negara ini yang didakwanya tidak adil dan bersifat 'pilih bulu'.

Katanya, ada individu yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah tinggi tetapi masih bebas tanpa menjalani hukuman, kononnya sedang menunggu rayuan meskipun rayuan telah ditolak dan sabitan disahkan.

“Sebaliknya, bagi orang lain yang belum dibicarakan pun sudah dikenakan pelbagai tekanan, termasuk ditahan berbulan-bulan, harta disita dan keluarga ditekan. Pendek kata, belum disabit kesalahan sudah dihukum,” ujarnya.

Dr Mahathir menambah, pelaksanaan undang-undang yang tidak konsisten menimbulkan persoalan besar terhadap prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang negara.

“Memang benar dalam kes serius seperti membunuh atau mengedar dadah, tahanan sebelum bicara adalah biasa. Namun kini, kes yang tidak serius juga berakhir dengan tahanan, kemudian dibebaskan tanpa sebab,” katanya.

Beliau turut menyifatkan laungan reformasi oleh kerajaan sebagai retorik semata-mata.

“Kita lihat sendiri siapa sebenarnya kaki bohong,” katanya. – Media Telus

+ - reset