TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MOT rancang dasar mandatori pengehad kelajuan kenderaan berat

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 10 Jun – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka dasar baharu melibatkan pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) bagi kenderaan berat sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya negara.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata dasar berkenaan kini dalam penelitian menyeluruh, termasuk merangka mekanisme bagi mengelakkan sebarang bentuk manipulasi apabila ia dikuatkuasakan nanti.

“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya. Kami komited untuk melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab dan kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Cadangan ini dibangkitkan susulan tragedi yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila sebuah bas sewa khas terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik. Nahas itu turut mencederakan 33 individu lain termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang MPV berkenaan.

Mengulas lanjut, Anthony memaklumkan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas terbabit.

Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap bas dan syarikat terlibat mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Tindakan tegas akan diambil sebaik siasatan selesai,” tegasnya. – Media Telus

+ - reset