TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penuntut UPSI sudah minta pemandu perlahankan bas, tapi tidak diendahkan

By
|
Kongsi
image

IPOH 10 Jun - Ketika nyawa bergantung harap, rayuan pelajar agar bas yang mereka naiki dipandu perlahan tidak dihiraukan, sehinggalah tragedi meragut 15 nyawa berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik.

Pendedahan menyayat hati itu disampaikan sendiri oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, selepas menziarahi mangsa terselamat, Lili Suzana Mat Yaakob, 23, yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurut Noraini, Lili masih dalam keadaan trauma apabila menceritakan detik-detik cemas sebelum bas terbalik dalam nahas yang menggegarkan negara itu.

"Dia berkata pemandu memandu terlalu laju dan sudah beberapa kali ditegur oleh penumpang. Tetapi teguran itu langsung tidak diendahkan," kata Noraini kepada media.

Noraini menambah bahawa kesan trauma jelas kelihatan pada pelajar itu, dan khidmat kaunseling telah ditawarkan bukan sahaja kepada mangsa yang terselamat tetapi juga kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

"Dalam situasi sebegitu, sesiapa pun pasti akan trauma, apatah lagi apabila melihat rakan-rakan terkorban di depan mata. Kita akan pastikan bantuan psikososial dan emosi disalurkan secara berterusan," ujarnya.

Satu lagi mangsa yang terselamat, Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, juga dirawat di hospital sama namun masih belum sedar sepenuhnya kerana menerima ubat dan memerlukan masa untuk pulih.

Noraini turut menyuarakan harapan agar kedua-dua pelajar tersebut segera sembuh dan dapat meneruskan pengajian mereka di UPSI.

"Apa yang penting adalah mereka terus kuat dan kembali menuntut ilmu. Kami di kementerian dan pihak universiti akan terus beri sokongan," katanya.

Dalam pada itu, keluarga yang menaiki Perodua Alza dan turut terlibat dalam kemalangan sama kini sedang dirawat di Hospital Baling, dan akan dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pegawai JKM akan segera melawat dan menyalurkan bantuan jika diperlukan. Kita tidak akan tinggalkan sesiapa pun," tegasnya.

Dalam kejadian tragis awal pagi semalam, 15 pelajar UPSI maut, manakala tujuh lagi parah selepas bas sewa khas yang dinaiki dari Jerteh ke Tanjung Malim hilang kawalan, melanggar sebuah Perodua Alza sebelum terbalik di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).



+ - reset