TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas maut dalam perjalanan ke surau, motosikal bertembung kereta

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 10 Jun – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Kuantan–Kemaman berhampiran Surau Abdul Ghani, Balok, malam semalam.

Mangsa, Sudirman Kasim, 67, yang menunggang motosikal jenis Honda Beat, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 7.15 malam ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan ke surau berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Kia Rio yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah Balok ke Kuantan sedang bergerak lurus sebelum motosikal mangsa tiba-tiba keluar dari simpang ke laluan utama.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak, lalu berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Media Telus

+ - reset