Berita Berita
Honda Malaysia panggil balik 87,490 kenderaan keluaran 2013 hingga 2020

KUALA LUMPUR 10 Jun - Sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pengguna, Honda Malaysia hari ini mengumumkan pemanggilan semula sebanyak 87,490 unit kenderaan keluarannya bagi menjalani penggantian pam bahan api.
Pemanggilan semula ini melibatkan dua isu berbeza berkaitan pam bahan api biasa dan pam bahan api tekanan tinggi.
Syarikat itu menegaskan bahawa model-model terkini yang sedang dijual tidak terjejas oleh pemanggilan ini.
Menurut kenyataan Honda Malaysia, bagi isu pertama, sebanyak 84,073 unit yang melibatkan model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey yang dikeluarkan antara 2013 hingga 2020, dipanggil semula untuk penggantian pam bahan api jenis impeller.
"Hasil pemeriksaan mendapati impeller pada pam bahan api berisiko mengembang apabila terendam lama dalam bahan api, sekali gus boleh menyebabkan enjin gagal dihidupkan atau mati secara tiba-tiba semasa memandu," kata Honda Malaysia.
Bagi isu kedua, sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V keluaran tahun 2023 hingga 2024 turut dipanggil balik kerana pam bahan api tekanan tinggi yang digunakan berpotensi mengalami keretakan akibat penggunaan berpanjangan serta tekanan berlebihan.
Pam yang terjejas berisiko mengalami kebocoran bahan api atau menghasilkan bau petrol ketika memandu atau semasa enjin melahu.
Honda Malaysia menegaskan bahawa semua kos penggantian pam bahan api akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat, dan ia akan dilakukan secara percuma.
"Pelanggan yang terlibat akan menerima surat pemakluman yang mengandungi maklumat lanjut mengenai pemanggilan semula ini. Mereka juga boleh menyemak status kenderaan masing-masing melalui aplikasi HondaTouch atau laman web rasmi Honda Malaysia," kata kenyataan itu.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa stok alat ganti akan dibekalkan secara berperingkat, dan pelanggan diminta menghubungi pengedar sah Honda berdekatan bagi menjadualkan janji temu selepas menerima surat pemakluman.
Walaupun tiada sebarang insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia setakat ini, Honda Malaysia menekankan bahawa langkah ini diambil sebagai langkah pencegahan demi menjamin keselamatan pengguna.
Menariknya, pemanggilan semula turut diperluaskan kepada kenderaan yang telah melepasi tempoh jaminan, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap tanggungjawab pengguna.
"Honda Malaysia akan terus mengambil langkah proaktif dan mengamalkan ketelusan serta kawalan kualiti ketat bagi memastikan keselamatan semua pelanggan kami terjamin," kata kenyataan itu lagi.
Berita berkaitan
June 11, 2025, 4:41 pm
Kadar pengangguran Malaysia turun kepada tiga peratus, terendah dalam 10 tahun
June 11, 2025, 4:35 pm
Pasukan Hospital Gerik, anda sungguh luar biasa - KP Kesihatan
June 11, 2025, 4:18 pm
Kerajaan umum bantuan tambahan RM5,000 hingga RM10,000 kepada mangsa tragedi bas UPSI
June 11, 2025, 3:55 pm
Bapa mangsa tragedi bas UPSI reda pemergian anak, maafkan pemandu bas
June 11, 2025, 3:28 pm
SPRM serbu rumah 'Tan Sri' di Melaka berkait penyelewengan dana sukuk lebuh raya
June 11, 2025, 2:33 pm
Polis Kelantan lupus dadah lebih RM11 juta dikumpul sejak 1997
June 11, 2025, 2:27 pm