TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Bekas pengawal keselamatan didakwa terajang perut isteri hamil, hentak kepala ke dinding

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT, 11 Jun — Seorang bekas pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya yang sedang hamil dua minggu dan merosakkan motosikal milik wanita itu dalam kejadian Sabtu lalu.

Tertuduh, Danial Azrey Affendy Mohd Noradi, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan pertama, Danial Azrey didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 22 tahun dengan menendang perut dan menghantuk kepala mangsa ke dinding di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, sekitar jam 1.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menendang motosikal milik isterinya hingga menyebabkan kerosakan berjumlah RM58 di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Rahmat/Kampung Nawi Jaya, Jalan Tanjung Laboh, kira-kira jam 3 petang hari sama. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Zulyatie Awang.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap tiga minggu sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Julai ini bagi penyerahan dokumen.

+ - reset