TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Tekanan belajar dipercayai motif pembunuhan kejam dua beranak di Melaka

By
|
Kongsi
image

MELAKA 12 Jun – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai membunuh ibu dan abangnya serta mencederakan adiknya akibat tekanan belajar yang didakwa sering dipaksa oleh ahli keluarganya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, ditahan kira-kira pukul 5 pagi di rumah keluarganya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.

“Ketika ditahan, suspek sedang termenung di hadapan rumah sebelum mengaku telah menikam ibunya yang juga seorang guru berusia 51 tahun dan abangnya, 21 tahun.

“Suspek turut mengaku cuba membunuh adik lelakinya berumur 13 tahun yang kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menyimpan dendam akibat tekanan berpanjangan kerana dipaksa belajar dan telah merancang perbuatan tersebut lebih awal.

“Suspek menggunakan pisau lipat sepanjang kira-kira 20 sentimeter yang disimpan dalam beg sekolah untuk menikam mangsa beberapa kali di bahagian leher, pinggang dan belakang badan,” jelasnya.

Katanya, kejadian disedari abang mangsa yang cuba membantu ibunya namun turut ditikam hingga maut. Kedua-dua mayat ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Turut hadir dalam sidang media ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong.

Tambah Dzulkhairi, hasil rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mendapati suspek cuba membuang pisau dan beberapa barang lain, namun pihak polis berjaya menemui semula barang bukti.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kejadian,” ujarnya.

Beliau berkata suspek akan direman di Kompleks Mahkamah Melaka esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Media Telus

+ - reset