TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jika tindakan polis tidak betul, Yusoff Rawther berhak saman kerajaan – Teo Nie Ching

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU, 16 Jun – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther, yang baru-baru ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pihak polis jika merasakan dirinya ditahan secara tidak wajar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dalam sistem perundangan negara, setiap rakyat Malaysia berhak menuntut keadilan sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa atau penahanan tanpa asas kukuh.

“Di bawah undang-undang, sekiranya seseorang itu merasakan penahanannya tidak wajar, tindakan undang-undang boleh diambil, seperti dalam kes Fahmi Reza.

“Jika ulasan atau tindakan polis tidak betul dan tidak memuaskan, inilah hak seorang rakyat Malaysia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pihak polis,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Projek Membaca anjuran Kolej Universiti Selatan di pusat beli-belah Mid Valley Southkey, semalam.

Ahli Parlimen Kulai itu turut menekankan bahawa menyaman pihak berkuasa adalah saluran yang sah dalam sistem demokrasi, sekali gus menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa yang dimiliki pihak berkuasa.

“Saya percaya rakyat mempunyai ruang untuk melaksanakan ‘check and balance’ terhadap kuasa yang dimiliki oleh pihak polis,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff, 32, daripada dua pertuduhan, masing-masing berkaitan pengedaran dadah jenis kanabis dan pemilikan dua pucuk pistol tiruan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan, justeru tertuduh tidak dipanggil untuk membela diri.

Muhammed Yusoff sebelum ini konsisten menafikan pembabitannya dalam sebarang kegiatan jenayah dan mendakwa dirinya menjadi mangsa perangkap dan penganiayaan politik, termasuk menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Anwar, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebagai pihak yang bertanggungjawab.

 

+ - reset