TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UPSI pastikan pelajar terlibat nahas tidak tercicir pengajian

By
|
Kongsi
image

TANJUNG MALIM 16 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi jaminan bahawa pelajar yang terlibat atau tercedera dalam nahas tragis di Gerik minggu lalu tidak akan tercicir dari segi akademik.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihak universiti sedang merangka pendekatan terbaik bagi memastikan urusan pembelajaran pelajar terlibat tidak terjejas sehingga terpaksa menangguhkan pengajian.

“Pelajar yang tercedera ini ada yang dirawat di hospital dan di rumah. Jadi saya mohon urusan peperiksaan, tugasan dan akademik mereka dapat diuruskan dengan baik agar sebolehnya tiada yang perlu menangguh semester.

“Mereka sedang melalui kesakitan dan keadaan yang sukar namun kita mempunyai sistem pembelajaran yang fleksibel. Kita akan gunakan sistem itu untuk memastikan mereka tidak tertinggal dalam pelajaran,” katanya dalam sesi taklimat secara dalam talian berkaitan kemalangan bas di Gerik, hari ini.

Menurut beliau, kebajikan pelajar terlibat merupakan antara fokus utama yang diberi penekanan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Katanya, pesanan yang sama turut dizahirkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Md. Amin berkata, pihak universiti turut memberi perhatian kepada kebajikan warga UPSI dan pelajar yang berada di hospital dengan menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kepada mangsa serta waris. – Media Telus

+ - reset