TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar gesa rangka kewangan jelas untuk lonjak pelaburan tenaga boleh baharu di Asia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Jun – Asia memerlukan rangka kewangan yang jelas dalam usaha memberi keyakinan kepada pelabur dan menggerakkan aliran modal yang lebih besar ke dalam projek tenaga boleh baharu di seluruh rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keperluan itu penting memandangkan pada tahun 2023, Asia Tenggara hanya menarik dua peratus daripada perbelanjaan tenaga bersih global, satu perbezaan ketara bagi rantau yang dikurniakan potensi besar dalam tenaga boleh baharu seperti angin di Vietnam, kuasa hidro di Laos, solar di Malaysia serta tenaga geoterma di Indonesia.

Menurutnya, di Malaysia, kerajaan sedang berusaha menangani jurang itu melalui dasar seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang membolehkan syarikat memperoleh tenaga bersih melalui grid nasional di bawah model akses pihak ketiga.

“Usaha juga sedang dijalankan untuk memberi insentif kepada pelaburan hijau melalui mekanisme seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS merangkap Pengerusi Energy Asia, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Haitham Al Ghais.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tonggak kritikal kedua dalam memajukan peralihan tenaga di rantau ini adalah menaik taraf grid elektrik.

Justeru, katanya, pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, rantau ini mengambil langkah penting ke hadapan dengan mempercepatkan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) melalui memorandum perjanjian yang dipertingkatkan serta penubuhan rangkaian kemudahan pembiayaan APG khusus.

Katanya, langkah itu akan meningkatkan aliran pembiayaan rentas sempadan dan membawa rantau ini lebih dekat kepada pasaran tenaga serantau yang benar-benar bersepadu.

“Ia mendorong kepada kesalinghubungan melangkaui perdagangan atau diplomasi, meluas kepada tenaga, nadi ekonomi moden.

“Di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited sebanyak RM43 bilion untuk menaik taraf infrastruktur grid negara, termasuk menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem storan tenaga bateri bagi membina daya tahan serta fleksibiliti yang lebih besar untuk masa hadapan,” katanya.

Seterusnya, Anwar menegaskan bahawa pelaburan juga mesti ditingkatkan untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada, memandangkan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus daripada bekalan tenaga global.

Beliau berkata, memastikan akses sejagat kepada tenaga yang mampu milik dan boleh dipercayai bukan sekadar keperluan moral, malah merupakan asas kepada peralihan tenaga yang adil.

Justeru, katanya, keterjaminan tenaga mesti melangkaui kestabilan bekalan dengan turut memasukkan elemen keadilan sosial dan akses yang inklusif.

Selain itu, Anwar berkata, ASEAN turut meletakkan asas untuk laluan pragmatik melalui Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Penangkapan dan Penyimpanan Karbon ASEAN (CCS) bagi memperkemas dasar serta memudahkan aliran modal dan karbon merentasi sempadan.

Beliau berkata, Malaysia telah melaksanakan inisiatif itu apabila Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 diluluskan awal tahun ini sebagai asas kawal selia untuk sektor yang sedang berkembang.

Katanya, PETRONAS mengetuai usaha dengan rancangan membangunkan tiga hab CCS di perairan luar pesisir, bukan sahaja untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga industri lain.

Menurutnya, inisiatif CCS Malaysia melibatkan lebih 10 rakan kongsi antarabangsa termasuk dari Jepun, Korea Selatan serta syarikat tenaga global seperti Total dan Shell.

Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun ini bertemakan Delivering Asia’s Energy, menghimpunkan lebih 180 penceramah berprofil tinggi dari seluruh dunia dan menarik kehadiran lebih 4,000 delegasi termasuk pembuat dasar, pemain industri dan profesional tenaga.

Ia menjadi platform perbincangan strategik merentas pelbagai pandangan serta pendekatan berkaitan peralihan tenaga adil di Asia dalam konteks landskap geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar. – Media Telus

+ - reset