TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terlalu banyak program sekolah, guru tak sempat habiskan silibus

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Jun – Pelbagai program di sekolah dan luar bilik darjah disifatkan menjadi antara punca utama guru-guru gagal menyiapkan silibus pengajaran, meskipun tahun persekolahan kini sudah memasuki separuh penggal.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ramai guru menyuarakan kebimbangan apabila sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang dirancang sering tertangguh akibat beban aktiviti yang tiada kaitan langsung dengan pelajaran.

Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan tempoh pengajaran lebih pendek pada tahun ini kerana sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari 2026.

“Ramai guru mengadu bahawa silibus masih jauh ketinggalan kerana terlalu banyak program sampingan yang mengganggu PdPc. Ini termasuk aktiviti kokurikulum, latihan, lawatan dan program luar.

“Guru-guru tersepit. Silibus kita pula bersifat berturutan dan bukan boleh dipotong sesuka hati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dr. Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM menegaskan, pengabaian terhadap pengurusan masa pengajaran boleh mencetuskan kesan jangka panjang terhadap kefahaman murid.

“Kalau guru tak sempat habiskan silibus tahun ini, guru tahun depan nak mula dari mana? Silibus sekolah kita tak dibina untuk ‘main lompat-lompat’,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pandangan segelintir pihak yang menganggap tidak perlu menghabiskan silibus sebagai perkara biasa.

“Itu jelas menunjukkan mereka tak faham kerja guru. Kalau silibus terganggu, guru kena jawab kepada pihak pengurusan sekolah, ibu bapa dan pejabat pendidikan daerah (PPD). Tiada siapa mahu cari masalah,” ujarnya.

Tambahnya, dalam keadaan sekarang, ramai guru terpaksa memilih pendekatan 'mengajar laju' atau 'asal siap', semata-mata untuk mengejar silibus yang tertangguh.

Katanya, kaedah tergesa-gesa itu berisiko menyebabkan ramai murid tercicir terutamanya yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Murid daripada keluarga berada mungkin tidak terkesan kerana boleh dihantar ke kelas tuisyen. Tapi murid miskin? Mereka akan terus ketinggalan dan hilang motivasi kerana terlalu banyak yang tidak difahami,” jelasnya.

Beliau menyeru agar semua pihak mengambil serius isu ini dan tidak terus membebankan sekolah dengan pelbagai aktiviti luar silibus yang mengganggu pengajaran asas. – Media Telus

+ - reset