TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM bongkar penyelewengan dana NGO RM26 juta

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 16 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan sumbangan orang ramai bernilai kira-kira RM26 juta.

Penyelewengan tersebut terbongkar menerusi Op Serantau hasil tangkapan lima individu utama pertubuhan berkenaan termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan.

Menurut sumber, operasi dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang sejak Khamis lalu.

“Modus operandi yang digunakan hampir sama dengan kes Aman Palestin, iaitu dana dipindahkan ke akaun peribadi bagi tujuan pembelian barangan kemas, kenderaan, tanah, rumah serta pelaburan dalam mata wang kripto.

“Malah, ada dana digunakan untuk memberi pinjaman kepada kakitangan NGO serta menggelapkan lebihan peruntukan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria,” katanya.

Difahamkan, kegiatan tersebut dipercayai bermula sejak tahun 2015 hingga kini.

Empat daripada lima suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini, manakala seorang lagi sehingga Khamis.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan pelbagai aset bernilai lebih RM8 juta telah disita.

Antaranya termasuk barangan kemas bernilai RM100,000, wang tunai lebih RM1 juta, akaun kripto RM650,000 dan empat unit rumah bernilai lebih RM1.4 juta.

“Sebanyak 14 akaun perbankan turut dibekukan melibatkan jumlah hampir RM5 juta untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah. – Media Telus

+ - reset