TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AGC fail rayuan terhadap pembebasan Muhammed Yusoff Rawther

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Jun – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada dua pertuduhan berkaitan dadah dan senjata tiruan.

AGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rayuan difailkan susulan keputusan pada 12 Jun lalu yang membebaskan bekas pembantu penyelidik itu tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.

Pertuduhan ke atas Muhammed Yusoff adalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan, serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 [Akta 206] yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Setelah meneliti keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi, jabatan ini telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan tersebut hari ini,” menurut kenyataan itu.

Pada 12 Jun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammed Yusoff bagi kedua-dua pertuduhan, dan oleh itu beliau dilepas serta dibebaskan.

Muhammed Yusoff, 32, sebelum ini didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sekitar jam 10.15 pagi pada 6 September 2024.

Dia turut berdepan pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, hari yang sama. – Media Telus

+ - reset